Syor kerajaan perpaduan patut diperjelas - Tun Dr M


Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat cadangan rundingan kerajaan perpaduan antara Umno dan Pas bukan keputusan yang bijak kerana ia boleh memberi pelbagai kesan buruk kepada Barisan Nasional (BN).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sendiri tidak pasti sama ada ahli Umno bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan.

“Dalam Umno pun belum tahu pendirian ahli, banyak pendapat dalam Umno dan Pas jadi perlu ada penjelasan apakah sebenarnya kerajaan perpaduan. Apakah ia dimaksudkan sebagai percantuman antara Umno dan Pas atau Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat.

“Jika ia (cadangan pembentukan) kerajaan perpaduan membabitkan antara Umno dan Pas... apakah kita bersedia meninggalkan rakan komponen kita (dalam BN) begitu juga adakah Pas mahu meninggalkan rakan pembangkang mereka.

“Adakah kerajaan perpaduan ini juga dimaksudkan kerajaan 100 peratus Bumiputera. Sekiranya berlaku sedemikian maka akan berlaku konfrontasi kaum... ini sudah tentu tidak baik untuk negara kita,” katanya.

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran buku bertajuk Things In Common karya Syed Akbar Ali di sini, semalam.

Beliau berkata, Umno perlu mendapatkan pandangan daripada akar umbi terlebih dulu sebelum meneruskan cadangan itu.

“Penjelasan perlu dibuat oleh semua pihak sama ada mereka percaya BN dengan Pakatan Rakyat perlu dicantumkan atau hanya Umno dan Pas perlu dicantumkan. Semua ini kita masih tidak tahu, jadi macam mana hendak buat keputusan berhubung cadangan ini.

“Dulu kita menerima Pas dalam BN tetapi tidak lama. Pas semasa berada dalam BN, mereka menggunakan kedudukan itu untuk mengembangkan pengaruh, bukan berusaha untuk melaksanakan dasar kerajaan sebab itu kita terpaksa berpisah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, BN selama ini sudah biasa dengan perkongsian kuasa bersama rakan komponennya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, cadangan pembinaan jambatan ketiga yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura boleh memberi kesan negatif kepada daya maju pelabuhan Johor di Pasir Gudang.

Beliau berkata, jambatan ketiga itu menyekat kapal memasuki kawasan perindustrian Pasir Gudang.

“Saya tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan ketiga sebaliknya berasakan jambatan bengkok yang dicadangkan sebelum ini perlu diteruskan.

“Jambatan bengkok bukan saja menyelesaikan kesesakan trafik di jambatan sedia ada, malah mampu merancakkan industri perkapalan dan melicinkan pergerakan air di timur dan barat,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url