Warga Ireland ramah, mesra pelancong

Oleh SITI SURIANI OTHMAN
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kewartawanan di Nottingham Trent University, United Kingdom.

Pengalaman beberapa hari di Ireland agak menarik untuk dikongsi dengan pembaca tidak kira yang pernah melawat negara itu atau sebaliknya. Ireland unik kerana pentadbiran seluruh pulau itu terbahagi kepada dua, yang diperintah sendiri secara bebas dikenali sebagai Republik Ireland dan yang di bawah pemerintahan kerajaan British, dikenali sebagai Ireland Utara.

Ada rakan yang pernah melawat Ireland tetapi tidak tahu mengenai perkara ini. Mungkin juga kerana lawatan hanya tertumpu kepada satu-satu tempat, sama ada Dublin, ibu kota Republik Ireland atau Belfast, bandar terbesar Ireland Utara. Jika lawatan terhad kepada mana-mana satu bandar ini dan tiada pembacaan lanjut dibuat, maka kemungkinan kita terlepas pandang keunikan Ireland.

Kejutan pertama buat kami di Ireland ialah ketika mula-mula mendarat di Lapangan Terbang Dublin. Semua pekerja di lapangan terbangnya mesra dengan pelancong. Tidak pula dapat dipastikan mereka memang ramah dengan semua orang atau hanya ramah dengan pelancong yang tidak kelihatan seperti masyarakat tempatan.

Yang nyata, mereka lebih ramah daripada penduduk Britain sendiri. Itu bukanlah apa yang kami jangkakan, kerana selama ini warga British sudah dilihat sebagai bangsa yang mesra.

Dalam pada itu, masih ada kesukaran bagi kami yang susah memahami dialek penduduk tempatan yang dipanggil Irish (bangsa Ireland) kerana pengaruh kuat bahasa Irish dalam bahasa Inggeris yang digunakan.

Kadang-kala, soalan tidak difahami dan perlu diulang semula. Namun, nasib baik mereka faham soalan dan jawapan kami. Kesukaran berkomunikasi itu tidak berakhir sehinggalah sampai hari kelima kami di Ireland. Memahami dialek bahasa Inggeris asing memang tidak semudah disangka, walaupun bahasa Inggeris standard sudah tidak asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia apatah lagi yang berada di luar negara.

Namun keadaan itu tidak memberi tekanan kepada kami memandangkan kami hanya berada beberapa hari di Ireland. Yang penting, kami dapat melihat sendiri cara hidup dan mengenali serba sedikit budaya masyarakat Ireland secara dekat.

Perbualan awal dengan pelayan di kaunter kereta sewa Lapangan Terbang Dublin mula memberi gambaran awal mengenai Ireland. Menurut pemuda ramah itu, sebarang jual-beli di Dublin menggunakan mata wang Euro tetapi ketika di Ireland Utara, semuanya menggunakan Pound Sterling.

Kami yang tidak sempat membuat persiapan mengkaji Ireland teringat perbualan dengan rakan yang pernah melawat Ireland. Dublin yang berada dalam Republik Ireland tidak termasuk dalam jajahan United Kingdom (UK). Maka kerana itulah mereka tidak menggunakan Pounds Sterling dalam transaksi.

Republik Ireland dengan ibu negaranya Dublin adalah negara bebas di Eropah. Berbanding Ireland Utara yang kini jajahan UK, Republik Ireland adalah negara berdaulat yang berpisah dari Ireland Utara pada 3 Mai 1921.

Ia sebuah negara demokrasi berparlimen dan juga sebuah republik. Nama asal negara ini adalah Ireland, tetapi sejak perpisahan dengan Ireland Utara berlaku, perkataan 'republik' digunakan untuk membezakan Ireland Utara dengan negara bebas, Republik Ireland.

Kerana itulah, maka Republik Ireland menggunakan mata wang Euro dan Ireland Utara pula yang menjadi sebahagian UK menggunakan mata wang Pound Sterling. Agak janggal juga pada kami mulanya kerana kadangkala masih keliru dengan penggunaan mata wang di tempat dilawati.

Ketika di Belfast, kota terbesar di Ireland Utara, kami perlu menggunakan Pound Sterling dan lain pula keadaannya di Dublin. Namun, pengalaman itu mendorong kita mempelajari sejarah untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai peristiwa yang mendorong kepada keadaan itu.

Mengapakah Ireland berpecah? Itulah persoalan pertama dalam pemikiran kami. Jika dikaji, sejarah Ireland bermula pada kurun ke-17, apabila bangsa Inggeris berjaya meredakan beberapa pemberontakan berlaku di Ireland. Kebanyakan bahagian di Ireland, terutama di bahagian utara dikuasai bangsa Scottish dari Scotland dan bangsa Inggeris Protestan.

Ireland Utara terbentuk pada 1921 selepas berlakunya pertelingkahan sama ada bahagian utara pulau itu patut menjadi sebahagian dari Britain atau sebahagian dari Ireland. Ketika itu, suara majoriti setuju untuk menjadi sebahagian UK dan akhirnya Ireland Utara menjadi sebahagian jajahan UK sehingga ke hari ini.

Perpecahan ini berpunca daripada konflik sama ada menjadi sebahagian daripada UK atau Ireland. Isu remeh itulah yang menjadi punca perbalahan ini. Golongan Kristian Protestan lebih menyokong gabungan dengan UK manakala golongan Katolik lebih cenderung menjadi sebahagian Republik Ireland.

Perbalahan antara dua golongan berlainan falsafah dalam agama Kristian ini berlanjutan sehinggalah kemuncaknya pada akhir 1960-an apabila keganasan berleluasa, bom di sana sini serta huru-hara yang berlanjutan selama 30 tahun. Tragedi ini dikenali sebagai 'The Troubles' oleh penduduk tempatan.

Sehingga kini, lebih 3,600 orang awam terkorban dalam konflik itu. Perdamaian diusahakan oleh Kerajaan British dan Kerajaan Ireland untuk mengelak ketegangan yang membawa maut itu. Akhirnya pada 2007 selepas cubaan damai yang panjang, pilihan raya pada kali itu menyaksikan persetujuan untuk berkongsi kuasa antara dua pihak yang bertelagah.

Hari ini, Ireland tidak lagi setegang dulu, penduduk tempatan tidak lagi berada dalam ketakutan, pelancong pula sudah mula menjadi tumpuan. Sebagaimana pengalaman seorang rakan yang pernah menuntut di Ireland, ketika sedang membeli-belah, tidak hairan kalau tiba-tiba ada pengumuman mengarahkan agar premis itu dikosongkan segera kerana bangunan itu akan diletupkan gerila Tentera Republik Ireland (IRA). Bayangkan bagaimana kehidupan mereka di sana dan bagaimana amannya kita di Malaysia. Sesuatu yang boleh kita renungkan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url