Tiga penagih maut kena petir


Gara-gara khayal, tiga lelaki dipercayai penagih dadah tergamak meninggalkan dua rakan mereka yang terbunuh serta-merta serta dua lagi yang parah di tempat kejadian selepas pondok tempat mereka melepaskan gian dalam ladang sawit di Felda Pasak di Kota Tinggi, Johor dipanah petir ketika hujan lebat dan ribut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua penagih termasuk seorang warga emas meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi (HKT) tidak lama kemudian selain seorang lagi yang parah di kaki masih dirawat di HKT.

Difahamkan, penagih yang cedera di kaki itu sempat menghubungi keluarganya untuk meminta bantuan sebelum kedua-dua yang cedera itu dibawa ke HKT untuk mendapatkan rawatan sebelum seorang disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Md Ehsan Harun, 58, Arif Abu Asa, 34, dan Nordin Mohamed, 45.

Sebaik menerima maklumat kejadian di ‘port’ kira-kira dua kilometer dari jalan utama Sungai Rengit-Kota Tinggi itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot bergegas ke HKT manakala Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan Mohd Hamizi Abdullah ke lokasi.

Menurut Osman, siasatan awal menjurus kepada jumlah mereka yang berada di kawasan itu ketika kejadian dan mereka yang tidak dapat dikesan menjelang jam 7.30 malam.

Selain itu, katanya, polis menyiasat kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Dua mayat dibawa keluar dari kawasan ladang itu dengan bantuan sebuah pacuan empat roda. Difahamkan, keluarga si mati dimaklumkan rakan mangsa sejurus kejadian dan mereka berusaha mengeluarkan mayat itu sebelum diserahkan kepada polis.

“Polis yang mengenal pasti lokasi kejadian meninjau kawasan sekitar bagi memastikan tiada mangsa yang tertinggal. Tiga rakan mangsa yang selamat dipercayai menghilangkan diri, tetapi polis mengesan mereka yang hanya mengalami kejutan akibat renjatan panahan petir,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat terdapat tujuh orang di tempat kejadian dipercayai melepaskan gian.

Menurutnya, semakan rekod mendapati kumpulan tujuh lelaki berusia 20-an dan awal 50-an itu penagih tegar yang menggunakan heroin.

“Kawasan ladang sawit itu bersempadan perkampungan dan kebun kecil serta mempunyai banyak rangkaian jalan tidak berturap dan dikenal pasti sebagai tempat penagih tegar berkumpul untuk melepaskan gian.

“Kami sering menyerbu dan melakukan tangkapan terhadap penagih di sekitar ladang itu menyebabkan mereka beralih ke kawasan yang lebih tersorok.

“Pada 21 Mei lalu, seorang pengedar ditahan di Johor Bahru dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Lelaki itu pengedar utama yang membekalkan dadah di sekitar Felda Pasak dan penangkapannya membawa kepada penahanan dua lelaki lain, dua hari kemudian,” katanya.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url