Minyak sawit Malaysia selamat dimakan

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menegaskan kualiti minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia untuk dieksport adalah selamat untuk pemakanan, tidak tercemar dan menepati spesifikasi kontrak eksport minyak sawit yang ditetapkan negara pengimport.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid, berkata Malaysia mempunyai prosedur pemantauan yang ketat bagi memastikan minyak sawit yang dihasilkan selepas proses penapisan sehingga ke pelabuhan sentiasa berada pada kualiti yang tinggi serta tidak dicemari bahan asing.

Katanya, pihak kilang penapisan sentiasa memastikan kualiti akhir minyak sawit yang akan dieksport berada pada tahap tertinggi dengan menyingkirkan bahan yang sengaja ditambah sindiket mencuri minyak sawit bagi memastikan piawaian keselamatan makanan ditepati.

“Bahkan bagi tujuan pemantauan, kita telah menempatkan penguat kuasa di semua enam pelabuhan di negara ini bagi menguji dan menilai kualiti bahan minyak sawit yang akan di eksport. Minyak sawit berkenaan tidak akan dilepaskan sekiranya gagal menepati piawaian yang ditetapkan.

“Berdasarkan perkara ini saya menafikan laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang menyatakan minyak sawit yang kita eksport adalah tercemar dan berpendapat maksud saya telah disalah erti akhbar berkenaan,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di Bangi, minggu lalu.

Awal minggu lalu, sebuah akhbar melaporkan kegiatan sindiket mencuri sebahagian daripada minyak sawit yang sedang dalam perjalanan dari kilang pengeluaran ke kilang penapisan, sebelum menambah bahan asing bagi tujuan mengaburi aktiviti terbabit.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Cikgu Ibrahim
    Cikgu Ibrahim Isnin, 15 Jun 2009 pada 3:44:00 PTG SGT

    Salam Kenal dan berkongsi maklumat.

Add Comment
comment url