Tinjauan Blog - Nik Aziz, Nasharudin - kerajaan perpaduan

Isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan konflik antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah mendapat perhatian utama penulis blog.

Syed Ali Alhabshee dalam blog UMNO Bahagian Cheras (umnobahagiancheras.blogspot.com) menulis, beliau kecewa dan sedih dengan sikap pemimpin seperti Nik Abdul Aziz yang begitu marah terhadap usaha merapatkan jurang perpecahan umat Islam.

"Makna daripada kemarahan beliau itu menggambarkan Nik Abdul Aziz sememangnya tidak suka Pas bersatu dengan orang Melayu (Islam) daripada UMNO. Tetapi sebaliknya dia seperti seronok bersubahat dengan bukan Melayu daripada DAP termasuk parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Sikap cepat melenting dan dikuasai oleh sifat marah tidak molek kepada seorang Tok Guru seperti beliau yang turut menduduki kerusi Mursyidul Am Pas,'' tulis beliau.

Katanya pemimpin Pas, termasuk Nik Abdul Aziz tidak menggambarkan integriti Islam yang sebenar kerana jika berpegang kepada ajaran agama dan sunah, sudah pasti mereka tidak mudah melenting dan buruk sangka.

Zolkharnain Abidin melalui blognya Bila Sauh Dibongkar (bongkarsauh.blogspot.com) turut mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz tersebut.

"Hari ini Nasharudin diserang lagi oleh Tuan Guru. Serangan kali ini lebih keras berbanding sebelumnya,'' tulis beliau kelmarin.

Katanya, jelas isu kerajaan perpaduan benar-benar menjadikan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini cukup dikenali berwatak lembut dan berhemah kini benar-benar tercabar dengan isu tersebut.

"Apa kata kalau Nasharudin benar-benar meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden dan Ahli Parlimen. Apa untungnya Pas? Dan tentunya UMNO pula tidak rugi apa-apa.

"Apatah lagi kalau Nasharuddin benar-benar masuk UMNO, sudah tentu Pas rugi. UMNO pula rasa-rasanya masih tidak rugi apa-apa dan mungkin dapat untung besar,'' tulisnya.

Tegas beliau lagi, jelas sekali pemimpin bergelar ulama itu sangat tidak senang dengan agenda kerajaan perpaduan yang dilahirkan melalui pelbagai desakan.

"Ini bukan ketika yang kondusif untuk kerajaan perpaduan,'' tulis beliau.

Penulis blog Cucu Tok Selampit (khairulryezal.blogspot.com), Khairul Ryezal pula mencadangkan Nik Abdul Aziz mempertimbangkan kedudukannya sendiri dalam Pas sebelum mendesak orang lain keluar parti.

"Jawatan Mursyidul Am yang dipegangnya adalah dilantik dan bukannya kehendak akar umbi. Kalau ikut akar umbi hanya satu bahagian sahaja yang mencalonkan beliau sebagai Presiden dalam muktamar lepas.

"Kalau hendak diikutkan pencalonan itu, tidak layak pun bagi beliau memegang jawatan Mursyidul Am,'' katanya.

Mengenai cadangan Menteri Besar Kelantan itu supaya para menteri turut dilantik daripada kalangan pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah kerajaan perpaduan, penulis itu berkata beliau merasakan Nik Abdul Aziz kini "lebih DAP daripada DAP dan lebih PKR daripada PKR sendiri".

Sementara itu, Ahmad Talib dalam blognya Pahit Manis (ahmadtalib.blogspot.com) pula mahukan parti-parti lain baik kawan atau lawan tidak masuk campur dengan masalah dalaman Pas.

"Ini hal rumah tangga Pas. Parti lawan dan kawan tak perlulah campur tangan. Memadai dengan meninjau dari jauh.

"Mungkin ada yang beranggapan bahawa terdapat pihak tertentu dalam Pas yang didalangi oleh DAP atau ada pula yang melihat ada pihak yang menjadi rakan seperjuangan pihak tertentu dalam PKR.

"Apa pun, ini adalah sebahagian daripada permainan dan sepak terajang politik. Pas baru sahaja memilih barisan pemimpin kanan mereka,'' tulis beliau.

Namun katanya, jika Nik Abdul Aziz sanggup mengeluarkan kata-kata keras terhadap Nasharudin, sudah pasti ada yang tidak kena dalam parti itu.

"Hanya mereka yang dalam pucuk pimpinan atasan Pas sahaja yang mengetahui sebab-musabab mengapa pertelingkahan itu berlaku,'' tulisnya.

Tambah beliau, sama ada pertelingkahan tersebut akan merebak, belum dapat diketahui tetapi sudah pasti ia tidak akan dapat diredakan dengan mudah.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url