NASA mahu bom bulan
Letupan itu satu ujian untuk melihat sama ada ia dapat menghasilkan air di atmosfera planet itu. NASA akan meneliti awan di bulan selepas ujian dilakukan bagi melihat sama ada air atau wap terhasil, kata The Telegraph.
Saintis menjangka impak letupan besar itu boleh menghasilkan satu awam besar mengandungi debu, gas dan wap ais bercampur air yang mampu dilihat dari bumi.
Jika ujian itu berjaya, kewujudan air akan membantu rancangan masa depan membina sebuah pangkalan di bulan.
Keadaan di bulan sebahagian besarnya padang pasir tetapi ais dipercayai terperangkap dalam kawah yang tidak pernah terdedah kepada sinaran matahari.
Misi Satelit Pengesan dan Pemerhatian Kawah Bulan (LCROSS) yang tidak membabitkan manusia, akan melancarkan satu roket 'Centaur' ke bulan pada dua kali kelajuan peluru.
Satu lagi pesawat angkasa lepas akan mengorbit bulan selama setahun bagi mencari lokasi sesuai untuk pendaratan angkasawan.
Pesawat Orbit Peninjau Bulan dilaporkan akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya setahun bagi menghasilkan peta paling lengkap keadaan permukaan bulan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, satu lurah yang dalam dan kawasan dipercayai bekas pantai dianggap bukti paling jelas air wujud di planet Marikh, kata saintis.
- AGENSI