Tinjauan Blog - Pas, penyatuan Melayu, pembantu rumah
Azizi Abdullah (aziziabdullah.blogspot.com) 17 Jun di bawah tajuk "Semoga pemimpin Pas tidak berlibido politik" menulis jangan salahkan ahli jika terdapat tuduhan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu disebabkan terdapat sesetengah pemimpin Pas yang begitu tergila-gilakan kuasa untuk menjadi seorang menteri.
''Ditakdirkan jika diseret sama PKR dan DAP, redakah Pas dengan hati telus-mulus melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi TPM, Karpal Singh jadi Ketua Hakim Negara, Lim Kit Siang jadi Menteri Undang-undang.
Ketika itu Pas akan berontak lagi. Ketika itu tentu ayat al-Quran tentang amanah, zalim dan munafik terus dibaca.
''Mahukah dan relakah pula dengan hati yang bersih, atas nama berjuang kerana Allah, Setiausaha Agung Pas akan jadi Setiausaha Agung 'Kerajaan Perpaduan' manakala yang lain menjadi timbalan menteri? Atau bermimpikah Presiden Pas akan menjadi Perdana Menteri?" tulisnya.
Tambah beliau, sangat memalukan jika Pas yang didakwa parti yang mendukung Islam, yang pemimpinnya terdiri daripada ulama berlaku perselisihan pendapat antara mereka.
Kamarulzaman Kamdias dalam Kepal Nasi Kepal Beras (kkamdias.blogspot.com) pada 19 Jun pula berpendapat parti yang mengaku berjuang atas landasan Islam kini sedang diduga oleh Allah sama ada perjuangan mereka benar-benar mendahulukan Allah dan Rasul atau kepentingan jemaah pakatannya.
Soalnya, manakah yang lebih penting di sisi Allah iaitu kepentingan agenda kelompok parti mereka atau perpaduan ummah dan bentuk perpaduan mana yang lebih tinggi, sama ada sesama agama atau bukan seagama.
''Apa ijtihad pun yang menjelma di fikiran para ulama Pas, jika hasil daripada ijtihad yang dirumuskan, mereka lebih mendahulukan ukhwah dengan golongan kafir daripada ukhwah sesama Islam, sudah pasti ijtihad itu bukan ijtihad yang dikehendaki Allah dan Rasul. Itu ijtihad palsu yang sesat lagi menyesatkan.
''Inilah akibatnya jika segala hal mahu dipolitikkan dan apabila dipolitikkan dikatakan pula agama tidak melarang asal ia tidak bertentangan dengan syariat Islam," tulis beliau.
Datuk Shamsuddin Nawawi dalam blog Small Talk (dongtalk.blogspot.com) menulis, usaha murni orang Melayu untuk bersatu tanpa mengira fahaman politik mendapat bantahan dan tentangan oleh kalangan Melayu sendiri.
''Di Facebook ada yang menggunakan nama dan gambar profil Melayu yang terang-terangan mempersendakannya.
Mungkin mereka memang orang Melayu, mungkin juga ada yang menyamar jadi Melayu dalam Facebook.
''Apa yang merasuk fikiran dan minda mereka Wallahualam. Mungkin mereka lebih rela Melayu berpecah-belah dan menjadi lemah serta dengan mudah menjadi susah di negara sendiri," tulis beliau.
Katanya, ternyata musuh paling berbahaya kepada Melayu adalah orang Melayu itu sendiri serta orang yang menyamar menjadi Melayu.
Norizan Shariff dalam blog Nobisha (nobisha.blogspot.com) pada 19 Jun menulis bahawa kedudukan Pas sebagai sebuah parti kecil tetapi yang paling berusia dalam pakatan pembangkang menjadikan sesetengah ahli parti mendesak agar ia diberikan layanan yang lebih baik, sesuai dengan kedewasaannya.
Beliau menganggap tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyebut mengenai kerajaan perpaduan melalui media sebagai strategi bijak bagi mencapai hasrat tersebut seperti yang dibangkitkan oleh perwakilan pada muktamar di Ipoh.
''Selepas mengeluarkan kenyataan itu, Abdul Hadi tidak langsung bersuara. Tidak ada kenyataan akhbar. Tidak ada penjelasan. Yang berhujah dan berbalah adalah orang lain; bukannya Abdul Hadi yang memulakan isu ini.
''Dia menggunakan prinsip 48 Laws of Power -- berdiam diri supaya dia kelihatan hebat dan orang menanti-nanti kenyataan beliau. Bijak! Lebih bijak lagi ialah keseluruhan episod dan drama ini akan menaikkan "nilai" Pas dalam kerajaan campuran bersama DAP dan PKR," tulisnya.
Katanya, nyata Abdul Hadi seorang ahli politik yang hebat kerana berjaya merealisasikan hasrat perwakilan muktamar Pas di Ipoh tahun lalu yang mahukan parti itu diberikan kedudukan yang sewajarnya.
Dalam pada itu, A. Kadir Jasin dalam The Scribe A Kadir Jasin (akadirjasin.blogspot.com) pada 20 Jun menyentuh mengenai kekejaman sesetengah majikan di negara ini terhadap pembantu rumah negara jiran yang beliau anggap sebagai haiwan bertopengkan manusia.
''Haiwan yang bertopengkan manusia ini wajib dihumban ke dalam penjara dan diharamkan daripada menjadi majikan. Polis, pendakwa raya dan hakim tidak boleh berlembut lagi. Berikan mereka hukuman maksimum.
''Muka kita sudah dipalit najis oleh haiwan bertopengkan manusia yang berduit, tetapi tidak berhati perut ini. Hatta haiwan pun tahu erti kasih sayang dan tanggungjawab," tulis beliau.
Katanya, seluruh rakyat termasuk para pembesar perlu memastikan imej negara wajib dipertahankan apatah lagi apabila ia berkaitan dengan sebuah negara jiran yang besar, serumpun dan seagama," tulis beliau.