Komentar - Perkaya bahan Bahasa Inggeris tempatan
Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia. Adakah itu persoalan atau pilihan dan terbaru dicadangkan menjadi satu kewajipan untuk lulus dalam peperiksaan utama.
Soal mewajibkan sesuatu subjek pilihan bukan perkara yang perlu diperdebatkan tetapi bagaimana kita menyediakan input-input untuk menjadikan subjek yang wajib lulus ini sebagai suatu yang mampu diikuti oleh pelajar-pelajar yang lemah.
Pelajar, tidak kira luar bandar atau di bandar sebenarnya tidak perlu 'dikastakan.' Jika input-input pengajaran bahasa Inggeris diperkasakan semua pelajar mampu lulus.
Yang penting ialah keazaman dan teknik pengajaran yang mampu menarik minat semua pelajar. Maka bahan-bahan bacaan bahasa Inggeris perlu disesuaikan dan diadaptasi untuk menarik minat pelajar luar bandar belajar bahasa Inggeris.
Bagi berlaku adil dengan pelajar luar bandar adalah disarankan bahan pengajaran diterjemahkan daripada karya sastera tempatan yang terkenal seperti novel hebat bahasa Malaysia ke bahasa Inggeris. Sebagai contoh novel Salina oleh A. Samad Said dan karya bermutu Sasterawan Negara yang lain seperti Datuk Usman Awang, Arenawati, Shahnon Ahmad dan lain-lain.
Dengan terjemahan sebegini, pelajar luar bandar akan terasa dekat diri mereka dengan kandungan hasil terjemahan tersebut dan akan menimbulkan minat mereka belajar bahasa Inggeris.
Suatu langkah memperkasa dan memperkaya bahan bacaan rujukan bahasa Inggeris yang mampu menarik minat pelajar luar bandar perlu dilakukan sebelum subjek Bahasa Inggeris diwajibkan dalam peperiksaan sebagaimana bahasa Malaysia.
Bukan tiada karya tempatan diterjemahkan ke bahasa Inggeris seperti karya Dr. Anwar Ridhwan, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman cuma agak 'miskin' bahan-bahan tersebut diterbitkan.
Bagi pejuang yang mendesak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, inilah yang perlu diperjuangkan agar karya bahasa Malaysia dapat diterima dunia.
Kita semua kebanyakan lahir di kampung pandai belajar semua subjek termasuk Bahasa Inggeris, bermakna pelajar-pelajar yang lain di luar bandar juga ada potensi untuk lulus dan maju.
Justeru, sebelum subjek Bahasa Inggeris diwajibkan lulus maka perlu bagi pihak Kementerian Pelajaran untuk memperkasakan input-input dengan pengajaran bahasa Inggeris berlatar belakang tempatan.
Tiada salah buku Sejarah Melayu menjadi Malay History, Hujan Pagi menjadi Morning Breeze atau Wira Bukit menjadi Hill Warrior, tepuk dada tanya selera kerana perlu kita menyediakan hidangan yang menyelerakan dan menarik minat sebelum menyuruh orang menikmatinya.