Bimbang H1N1 jadi pandemik

Kementerian Kesihatan bimbang penularan virus selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini akan berubah menjadi pandemik dalam komuniti iaitu penularan jangkitan tempatan secara meluas.

Pandemik dalam komuniti akan meletakkan setiap orang lebih berisiko untuk dijangkiti H1N1.

Menterinya, Datuk Seri Liong Tiong Lai berkata, kebimbangan itu berasaskan penelitian pihaknya yang mendapati bilangan kes tempatan semakin hari semakin meningkat berbanding trend H1N1 sebelum ini yang banyak disumbang kes import.

"Contohnya hari ini sahaja kita menerima 43 kes baru jangkitan H1N1 dengan kesemuanya adalah jangkitan tempatan dan tiada satu pun import. Kita bimbang H1N1 akan berubah menjadi pandemik dalam komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran kempen Bersama Mencegah Influenza A dengan kerjasama Unilever (M) Holdings Sdn. Bhd. dan Guardian di sini hari ini.

Tiong Lai menambah, risiko jika H1N1 menjadi pandemik dalam komuniti adalah ia akan merebak dengan lebih cepat dan meluas.

Katanya, sehingga 22 Julai lalu, sejumlah 921 kes yang terdiri daripada 572 kes import (62 peratus) dan 349 kes (38 peratus) jangkitan tempatan.

"Angka-angka ini jelas menunjukkan bahawa senario penyakit ini telah berubah sejak dua bulan lepas. Jika sebelum ini individu yang berisiko tinggi adalah yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit influenza A dan yang mengunjungi negara dilanda penyakit itu.

"Tetapi kini kita semua berisiko untuk menghidapinya kerana kes tempatan yang dilaporkan bermula 17 Jun telah menular secara berterusan," katanya.

Justeru jelasnya, tanggungjawab ahli masyarakat untuk menangani H1N1 kini adalah sangat penting kerana mereka boleh memainkan peranan utama menyekat penularan penyakit itu.

Orang awam, katanya, perlu mengambil tindakan pencegahan dan kawalan dengan mengamalkan kebersihan diri khususnya mencuci tangan dengan air dan sabun, mengamalkan adab batuk dan bersin yang betul dan memakai penutup mulut dan hidung jika mempunyai gejala selesema.

Selain itu, tambah beliau, salah satu aspek terpenting yang perlu diberi perhatian bagi mengekang penularan H1N1 adalah mengurangkan perjumpaan.

"Anak-anak muda yang rajin ke tempat seperti kelab malam umpamanya perlu lebih berhati-hati dengan virus baru ini," katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, beliau akan mendapatkan pandangan Kabinet mengenai cadangan pihaknya untuk memberikan vaksin selesema biasa bagi jemaah haji.

"Vaksin H1N1 belum boleh didapati lagi, kalau kita beri vaksin selesema biasa, sekurang-kurangnya jemaah kita ada sedikit perlindungan tambahan," katanya.

Kerajaan Arab Saudi dijangka akan memperketatkan syarat kebenaran mengerjakan haji tahun ini berikutan penularan H1N1 di serata dunia.

Mengulas kes terkini H1N1 sehingga pagi ini, kata Tiong Lai, jumlah terkumpul H1N1 adalah 1,021 kes dengan satu kematian dan 573 merupakan kes import (56 peratus) dan 448 (44 peratus) kes jangkitan tempatan.

Namun katanya, hanya lapan kes atau 1 peratus sahaja yang sedang menerima rawatan anti-viral di hospital.

"Baki 1,009 kes atau 98 peratus telah sembuh dan tiga kes menerima rawatan pesakit luar di rumah masing-masing," katanya.

Mengenai 43 kes terbaru yang dilaporkan, kata beliau, 36 adalah kes daripada enam kluster baru, empat daripada tiga kluster sedia ada dan baki tiga kes lagi diklasifikasikan sebagai terpencil.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url