Rumah Mawi dirompak, 2 penjenayah ditembak
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi sebelum dua daripada suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Waja ditembak mati di Ladang Fraser di sini pada pukul 12 tengah hari.
Dua penjenayah tersebut dikenali sebagai Marwa, 30, dari Batam dan Roni Aslah, 29, dari Tanjung Pinang yang juga sering keluar masuk ke negara ini.
Dalam kejadian pecah rumah itu, sembilan ahli keluarga Mawi yang berada di dalam rumah selamat.
Bagaimanapun ibu Mawi, Ramlah Sarlan, 64, cedera ringan di jari setelah terkena parang semasa perompak ingin mengambil gelang emas yang dipakainya.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, penjenayah terbabit melarikan diri setelah kehadiran mereka disedari oleh jiran-jiran yang terdengar jeritan keluarga Mawi.
“Selepas keluar dari rumah, mereka telah berpecah dua. Dua orang ditemui menaiki Proton Waja di Ladang Fraser di sini sebelum ditembak mati sementara dua lagi masih diburu polis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Detik-detik mencemaskan
Ibu dan kakak penyanyi terkenal Asmawi Ani, 28, melalui detik-detik mencemaskan apabila dicekik dan diugut dengan parang oleh empat perompak yang memecah masuk rumahnya di Felda Taib Andak, di sini hari ini.
Ibu Mawi, Ramlah Sarlan, 64, cedera di jari kiri akibat terkena parang semasa salah seorang perompak cuba merampas gelang emas yang dipakainya. Rashidah Ani, 38, yang sarat mengandung lapan bulan pula turut diketuk di kepalanya dengan hulu parang dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu.
Kejadian berlaku ketika kesemua sembilan penghuni rumah itu sedang tidur sebelum perompak tersebut memasuki rumah dengan mengumpil pintu belakang. Rashidah tidur di ruang tamu bersama dua anaknya, Zahirah Shahron, 7, dan Ammiratul Haziqah, 9, manakala ibunya di sebuah bilik di tingkat bawah.
Suami Rashidah, Shahron Sagi, 40, pula tidur di bilik atas tetapi bergegas ke tingkat bawah apabila mendengar jeritan isterinya. Bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran Shahron, seorang daripada perompak mengejar dan mengacukan parang supaya tidak membuat bising.
Sebelum itu, Shahron sempat menjerit meminta tolong tetapi berjaya ditangkap oleh perompak berkenaan.
Rashidah berkata, perompak bertopeng yang dipercayai warga Indonesia itu kemudian menggeledah rumah dan merampas barangan kemas.
“Selepas mencekik ibu saya, perompak itu menarik gelang dan ketika itu terkena mata parang di jari kiri,” katanya kepada pemberita di rumahnya.
Menurutnya, mujurlah kedua-dua anaknya yang menyedari kejadian itu tidak menangis atau membuat bising.
Sebaliknya, katanya, kesemua sembilan ahli keluarganya yang berada di rumah itu menurut sahaja arahan perompak berkenaan dan tidak melawan.
Ujar Rashidah lagi, perompak-perompak itu kemudian melarikan diri menggunakan pintu yang sama setelah kehadiran mereka disedari jiranjiran.
“Mereka keluar dari rumah dengan melompat pagar depan sebelum melarikan diri dipercayai dengan kereta,” ujarnya.
Rashidah memberitahu, perompak itu melarikan masing-masing dua utas rantai dan gelang emas, beg tangan berisi wang tunai RM200, sebuah jam tangan dan tiga telefon bimbit.
Sebaik sahaja perompak itu meninggalkan rumah, adik Mawi, Asmidah Ani, 22, menghubungi polis.
Rashidah berkata, walaupun trauma dengan kejadian berkenaan namun dia bersyukur kerana sembilan ahli keluarganya terselamat dan tidak diapa-apakan.
- UTUSAN