14 pasangan pengantin saudara Muslim bersanding


Majlis persandingan 14 pasangan pengantin saudara Muslim di Dataran Kompleks Islam Bukit Palah di Melaka hari ini berlangsung dalam suasana meriah dan ceria.

Program tahunan kali keempat itu dianjurkan bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia.

Pasangan yang terdiri daripada kaum Iban, Melanau, Bidayuh, Serani, Cina dan India itu merupakan ahli berdaftar dengan pelbagai persatuan saudara Muslim termasuk Persatuan Tiong Hua Muslim Melaka dan Badan Kebajikan Persaudaraan Islam Melaka.

Kira-kira 1,000 orang termasuk ahli keluarga pengantin memenuhi pekarangan dataran bagi memeriahkan majlis itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakob Md. Amin.

Dalam suasana ceria itu, kelihatan ramai ibu bapa pasangan pengantin menitiskan air mata sewaktu upacara menyerah tanggungjawab kepada pasangan suami anak masing-masing.

Selain acara pernikahan dan persandingan yang bermula pukul 9 pagi, pengantin turut dibawa menaiki bas Panorama bagi mengunjungi lokasi tumpuan pelancong di sekitar Bandar Hilir dan menara berputar Menara Taming Sari.

Pada akhir program dan siri lawatan itu, pasangan pengantin dibawa menginap di Hotel Lisbon berhampiran perkampungan Portugis di sini.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengerusi MAIM, Ghazale Mohamad, persandingan beramai-ramai itu merupakan program tahunan bagi meraikan pasangan pengantin yang terdiri daripada golongan saudara Muslim di negeri ini.

Katanya, ia bertujuan memberi peluang kepada mereka merasai suasana bersanding dengan dihadiri keluarga, saudara mara dan orang ramai.

''Ia juga sebagai sokongan kepada pasangan saudara baru yang selepas ini akan menempuh kehidupan baru sebagai suami isteri.

''Saya berharap mereka akan menjaga perhubungan suami isteri dengan baik dan membina institusi kekeluargaan yang kukuh dan bercirikan Islam," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, salah seorang pengantin mualaf, Ariffin Chong Abdullah, 32, dari Ayer Molek berkata, dia tidak menyangka akan diraikan dalam suasana meriah pada hari persandingannya.

Dia yang sudah setahun memeluk agama Islam bernikah dengan pengusaha restoran di Ayer Molek, Hamidah Mahmod, 26, yang merupakan penduduk Melayu dari kampung tersebut.

''Pada mulanya, saya agak tidak selesa apabila disandingkan beramai-ramai namun rasa tidak selesa itu hilang apabila suasana persandingan kami kelihatan meriah dengan kunjungan orang ramai," katanya.

Selain Ariifin dan Hamidah, turut dinikahkan ialah pasangan Muhamad Shahrul Badri Abdullah berketurunan India dari Kampung Chiti Gajah Berang di sini, dengan wanita Melayu pilihan hatinya, Jarina Kamarudidin.

Menurut Muhamad Shahrul Badri, 25, adat persandingan dan majlis perkahwinan masyarakat Melayu sudah tidak asing baginya kerana sejak kecil sudah bergaul dengan masyarakat itu.

''Saya memeluk agama Islam pun sudah beberapa tahun lalu malah dalam keluarga, bapa saudara juga sudah menganuti Islam. Jadi saya sudah biasa dan memahami agama dan budaya orang Melayu," katanya.

Sementara itu, pasangan mualaf yang kedua-duanya dari keturunan Iban, Mohd. Izzatul Ikram Daniel Abdullah, 26, dan Nor Fauziana Abdullah, 25, menyatakan penghargaan mereka kepada MAIM kerana menganjurkan majlis itu yang dianggap bersejarah dalam hidup mereka.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url