Filem besar untuk ‘kanak-kanak dewasa’

Oleh A. WAHAB HAMZAH

Dua buah filem blockbusters yang sedang ditayangkan di pawagam Transformers: Revenge of the Fallen dan Terminator Salvation adalah filem-filem yang sememangnya dirancang untuk ditayangkan pada musim panas dan ketika musim cuti sekolah. Matlamat asalnya untuk hiburan seisi keluarga terutama kanak-kanak. Filem-filem sebegini tidak dirancang untuk tayangan sahaja tetapi ia dirancang bersama barangan runcitan lainnya seperti barangan permainan kanak-kanak atau gadget cenderamata. Oleh itu filem-filem ini dirancang penerbitannya bersama strategi pemasaran yang lebih meluas.

Filem-filem ini memang asalnya untuk kanak-kanak dan remaja tetapi telah diperluaskan tarikannya untuk menjangkau keseluruhan keluarga. Pendekatan filem-filem keluarga yang bersifat tradisi sebenarnya telah berubah mulai 1970-an apabila munculnya “Sindrom Lucas-Spielberg”. Filem-filem besar mereka telah membina semula naratif yang asalnya lebih ditujukan sebagai filem kanak-kanak kepada filem yang dipasarkan dan ditonton oleh golongan “kanak-kanak dewasa”.

Sungguhpun filem-filem George Lucas seperti Star Wars atau filem Steven Sielberg seperti filem E.T. – The Extra-Terrestrial dan Jurassic Park bersifat adventure dan aksi cemas, tetapi filem-filem ini masih mengekalkan beberapa elemen tradisi yang menghubungkannya dengan elemen kekeluargaan. Naratif filem-filem tersebut masih membawakan peranan kebapaan secara konsep dan tradisinya, sama ada bapa tersebut mempunyai masalah yang mana kuasanya sebagai bapa dipersoalkan dan akhirnya ditoleransi dan diterima kembali. Pada masa yang sama wira lelaki remaja dan masih muda yang harus melalui pelbagai masalah dengan kekuasaan bapanya sepanjang hubungan mereka akhirnya harus menerima kekuasaan itu dan belajar mengenal diri untuk dia kemudiannya mengambil alih kuasa itu dan menjadi bapa. Ini adalah proses menarik yang cuba disesuaikan dalam naratif dan adegan-adegan spektakular untuk disampaikan oleh filem-filem tersebut kepada khalayak penonton kanak-kanak dewasa ini.

Robin Wood yang membuat analisis tentang filem-filem Hollywood kontemporari membuat kenyataan menarik tentang khalayak penonton filem hari ini kebanyakkannya terdiri daripada orang dewasa yang mencari hiburan dan keseronokan regressive (yang cuba kembali ke zaman kanak-kanak untuk hiburannya). Hal ini dapat dilihat bahawa jumlah kanak-kanak yang menonton filem-filem ini hanyalah mewakili sebahagian kecil daripada jumlah penonton.

Kedua, khalayak yang sebahagian besarnya didominasi oleh lelaki sememangnya bersedia menerima filem tersebut berbanding wanita (sekarang ini wanita turut berminat terhadap filem-filem begini) kerana filem ini juga membawakan agenda patriakal (dalam filem Terminator 2: The Judgement Day, walaupun watak protagonisnya adalah wanita Sarah Connor (Linda Hamilton), tetapi dia sebenarnya membawakan peranan seorang bapa sebagai pelindung kepada anaknya). Filem-filem ini walaupun membawakan elemen penuh tenaga, penuh persoalan dan selalunya sukar diterima fikiran serta skeptikal berbanding dunia kanak-kanak yang jujur dan real serta fikiran yang belum tercemar, tetapi khalayak penonton ini sedia menerima nilai-nilai dan menjarakkan dirinya daripada nilai-nilai filem tersebut demi keseronokkan.

Dalam filem Terminator Salvation (Filem Terminator keempat) elemen watak pelindung dan peranan seorang bapa masih dibawakan apabila kanak-kanak remaja Kyle Anton Yelchin menyelamatkan Marcus (robot T-1000) yang mahu menjadi manusia dan berusaha menyelamatkan dunia dan umat manusia dari kemusnahan dan penguasaan para terminator dan kemudian John Connor (Christine Bale) yang dalam Terminator 2 adalah kanak-kanak yang dilindungi ibunya Sarah perlu pula menyelamatkan Kyle yang satu hari nanti bakal menjadi bapanya (berkahwin dengan Sarah). Jadi kita masih dapat melihat peranan kebapaan dan pelindung dalam sebuah cerita berkonsepkan perjalanan masa, antara masa depan dan masa silam.

Bersifat ikonografi

Jika filem Terminator membawakan tema penjagaan atau pelindung, filem TRANFORMERS: Revenge of the fallen sebenarnya masih membawakan dunia kanak-kanak dan permainannya ke dalam filem dan khalayak penontonnya yang terdiri daripada kanak-kanak dewasa (atau orang dewasa yang masih tidak mahu terpisah dengan dunia kanak-kanaknya). Filem Transformers adalah berdasarkan daripada alat permainan yang mampu diubah-ubah bentuknya ciptaan Hasbro.

Dalam filem Transformers, Sam (Shia LeBouf) yang dulu kanak-kanak yang suka dengan permainan seperti transformers sudah berubah ke alam anak muda dengan memasuki kolej, tetapi tabiatnya yang suka kepada alat permaianan masih belum berubah. Dan transformers Optimus Prime sudah berubah bukan sahaja sebagai pelindung kepada Sam tetapi juga manusia atau dunia keseluruhannya daripada kemusnahan serangan dendam oleh para robot decepticon yang diketuai oleh Megatron.

Sungguhpun filem-filem ini membawakan elemen kemusnahan dan robot-robot raksasa daripada ciptaan komputer digital, tetapi filem-filem ini juga elemen emosi serta bersifat ikonografi yang sememangnya dapat dikenal oleh para generasi kanak-kanak remaja dan dewasa ini. Sungguhpun mereka telah dewasa dan mencapai kedudukan tersendiri tetapi mereka masih mahu kembali ke zaman yang menyeronokkan itu dalam satu perjalanan masa yang penuh emosi.

Biarpun sebahagian filem-filem ini cuba membawakan isu-isu kritis tetapi elemen sentimental, spektakular dan perasaan kekaguman pada unsur sinematik yang dihasilkan secara digital serta kesan daripada kepahitan kekeluargaan, impian yang tidak tercapai, mimpi ngeri dan tanggung jawab berjalan selari dalam naratif filem ini. Jadi filem-filem begini yang asalnya hiburan untuk kanak-kanak dan keluarga telah menjadi alat hiburan dan keseronokan penuh emosi daripada penonton dewasa yang mahu kembali kepada keindahan dunia fantasi kanak-kanak.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url