Top Ad 728x90

,

Keikhlasan Pas dituntut selesai persengketaan sesama Melayu

Oleh Ismail Mat

Fiesta Kelantan 2009 yang bertujuan menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara dijadualkan berlangsung akhir Oktober ini. Majlis prapelancarannya di Kuala Lumpur akhir minggu lalu, menciptakan kejutan dengan kemunculan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, di atas pentas sama.

Susulan pertemuan itu, Nik Aziz yang selama ini sering tegas dengan pendiriannya, membuat kejutan apabila dilaporkan sedia menghulurkan tangan berbaik-baik dan melupakan sengketa politik antara kerajaan negeri yang diketuainya dengan Kerajaan Pusat. Nik Aziz memberi alasan, pendirian itu adalah untuk menjaga kepentingan rakyat khususnya di Kelantan dan perpaduan umat Islam.

"Saya daripada gerakan Islam (Pas), tak bermusuh dengan individu, tak musuh dengan orang tertentu. Kita bermusuh dari segi ideologi, fahaman dan akidah saja," demikian penjelasan Nik Aziz.

Katanya, perselisihan pendapat antara Umno dan Pas ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai baru-baru ini perlu dilupakan dan kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.

"Seperti biasa, pertembungan pendapat dan ideologi timbul pada saat-saat menjelang pilihan raya," katanya yang turut menegaskan, sebelum ini kerajaan negeri pimpinannya tidak pernah menganggap Kerajaan Pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam perjuangan ideologi politik masing-masing.

Jika begitu keadaannya, Nik Aziz kini mengakui hakikat Umno dan Pas mempunyai perjuangan sama, cuma pendekatan saja berbeza. Mustapa menegaskan, Umno dan BN Kelantan sentiasa bersikap terbuka terhadap apa saja yang boleh merapatkan perpaduan umat Islam dan orang Melayu.

"Dalam hal berkaitan agama dan bangsa, tidak harus ada percanggahan pendapat, sebaliknya harus ada perpaduan. Kita memang ada perbezaan ketara dalam politik, tetapi jika ada persamaan, tiada sebab untuk kita tidak boleh bermuafakat," katanya.

Kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyifatkan kesediaan Nik Aziz untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat adalah sesuatu yang wajar.

Beliau berkata, di sebalik penguasaan Pas di Kelantan selama ini, Kerajaan Pusat yang diterajui Umno dan BN tidak pernah mengabaikan kebajikan dan kepentingan rakyat Kelantan menerusi pelbagai pembangunan infrastruktur dan sosial yang dibawa.

"Selama ini, kita (Kerajaan Pusat) ikhlas membantu. Baguslah jika Nik Aziz cakap (mahu berbaik-baik) macam itu," ujarnya.

Nada sama dikongsi Setiausaha BN Kelantan yang juga Ketua Pembangkang dalam DUN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, yakin Nik Aziz ikhlas untuk berbaik dengan Kerajaan Pusat.

Katanya, Menteri Besar itu harus membuktikan kesungguhannya untuk bekerjasama menjayakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

"Bagus jika Nik Aziz bersedia untuk berbaik dengan Kerajaan Pusat. Saya sambut baik niatnya itu.

"Sememangnya Kerajaan Pusat sudah lama memberi kerjasama kepada kerajaan negeri. Ini dibuktikan dengan pelbagai bantuan serta peruntukan membangunkan Kelantan selama ini," katanya.

Pada masa ini, kerajaan Kelantan mengharapkan royalti minyak yang didakwa hasil cari gali dijalankan Petronas di perairan Kelantan. Nik Aziz ada mengirim surat dan memohon pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga berusaha mendapat kebenaran Kerajaan Pusat untuk membina pangkalan hadapan sebagai lokasi penghantaran pelbagai keperluan usaha cari gali minyak di kawasan terbabit.

Melihat kesediaan Mustapa berganding bahu dengan Nik Aziz itu, penyokong Pas mahu Mustapa membantu kerajaan Pas Kelantan agar Kerajaan Pusat menyelesaikan isu royalti minyak itu.

Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa mungkin boleh menyelesaikan kekusutan bagi membantu menyelesaikan masalah itu, khasnya dalam soal-soal tekikal.

Sama ada kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat dan mewujudkan kerjasama bergantung kepada kejujuran kedua-dua pihak dalam menyelesaikan pelbagai masalah antara parti.

Perbalahan ideologi ketika pilihan raya, tidak seharusnya dibiarkan menjadi punca putusnya hubungan persaudaraan sesama umat Islam atau memecah-belahkan masyarakat. Ketika mengharapkan Kerajaan Pusat membantu dan memberi kerjasama kepada Kelantan, janganlah ada di kalangan pemimpin negeri itu yang bersikap telunjuk lurus, kelingking berkait.

Dalam mengharapkan pelbagai sokongan dan bantuan Kerajaan Pusat, pemimpin kerajaan Kelantan serta pengikut mereka pula asyik menghentam dan mengecam pemimpin BN seolah-olah tiada sekelumit jasa diberikan. Selama ini, pemimpin Pas sering menyifatkan Kerajaan Pusat sebagai bapa, manakala kerajaan negeri sebagai anak. Suatu hakikat wajar dihayati, anak yang baik dan mendengar kata serta sentiasa menghormati ibu bapa, pastinya mendapat banyak kelebihan daripada ibu bapa yang menyayanginya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90