Isnin, Julai 27, 2009

Politeknik, dua sekolah ditutup, UUM tunda kuliah

Sebuah politeknik dan dua sekolah diarah tutup selama seminggu berikutan terdapat pelajar dijangkiti virus selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Politeknik Seberang Prai di Permatang Pauh dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Aik Keow, Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang ditutup seminggu, mulai kelmarin manakala Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun di Terengganu pula ditutup bermula semalam sehingga 1 Ogos depan.

Universiti Utara Malaysia (UUM) pula semalam menangguhkan semua kuliah di institusi itu selama seminggu sehingga 1 Ogos ini berikutan beberapa pelajarnya dikesan terkena jangkitan penyakit seperti influenza (ILI).

Di GEORGETOWN, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata tindakan penutupan politeknik dan sekolah itu dilakukan berikutan 36 penuntut dan 16 murid dijangkiti virus berkenaan.

Beliau berkata semua pelajar dan murid yang disahkan positif H1N1 sudah dikuarantin.

“Mereka sedang dirawat dan berada dalam keadaan stabil. Saya nasihatkan mereka supaya berdisiplin ketika dikuarantin dan jangan keluar rumah bagi mengelak jangkitan kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Di KUALA TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata selain SM Dungun yang ditutup seminggu selepas 10 pelajarnya mempunyai tanda ILI, sebuah asrama Persatuan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) di Marang turut ditutup untuk tempoh yang sama.

Beliau berkata, penutupan sekolah berkenaan adalah yang ketiga membabitkan institusi pengajian di Dungun selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin manakala penutupan asrama Perkaya adalah membabitkan kes pertama di daerah Marang.

“Pengurusan kedua-dua sekolah dan asrama berkenaan dimaklumkan perkara itu oleh Jabatan Kesihatan negeri pagi tadi (semalam) dan kesemua pelajar diarahkan pulang ke rumah masing-masing pada sebelah petang," katanya ketika dihubungi semalam.

Di ALOR SETAR, Timbalan Naib Canselornya UUM, Prof Dr Abdul Razak, berkata semua kuliah yang dijadualkan ditangguhkan sehingga Sabtu ini bagi menyekat sebarang jangkitan daripada merebak di kalangan pelajar ketika berkumpul dalam dewan kuliah.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menghubungi pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk mendapatkan kerjasama dalam usaha memantau dan menyekat sebarang rebakan penyakit itu di dalam kampus UUM.

Bagaimanapun beliau berkata, segala urusan pentadbiran serta beberapa aktiviti lain yang tidak membabitkan perkumpulan pelajar di kampus UUM tetap diteruskan.

“Kita masih beroperasi macam biasa tetapi dalam langkah berjaga-jaga... setakat ini kita tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi supaya semua kakitangan UUM memakai topeng atau sebagainya,” katanya.

Di JOHOR BAHRU, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata 11 pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing kini diletakkan bawah pemerhatian selama seminggu oleh Jabatan Kesihatan negeri apabila didapati menunjukkan mempunyai tanda seperti H1N1, semalam.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts