Kelebihan & peristiwa penting Syaaban
Dari segi bahasa, Syaaban membawa maksud berpecah-pecah atau berpuak- puak dan perkataan itu terbit daripada budaya hidup masyarakat Quraisy yang terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Pendapat lain pula mengatakan, Syaaban adalah tanda pemisah antara bulan Rejab dan Ramadan.
Rasulullah SAW pada bulan Syaaban telah memperbanyakkan puasa hingga diriwayatkan, baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut.
Seperti mana maksud satu hadis daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. (riwayat al-Bukhari).
Berdasarkan maksud hadis tersebut, jelas Rasulullah telah memperbanyakkan ibadat puasa pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain sebelum baginda berpuasa penuh pada bulan Ramadan.
Tidak dinafikan usaha untuk menggandakan amal ibadat tidak seharusnya ditumpukan pada bulan-bulan tertentu tetapi ibadat yang dikerjakan oleh Rasulullah ini wajar diikuti kerana pasti ia mempunyai banyak kelebihan.
Siapa lagi yang harus mendukung sunnah Rasulullah jika bukan kita sebagai umat Nabi Muhammad.
Selain digalakkan berpuasa sunat, kita juga digalakkan memperbanyak bersedekah, membaca al-Quran, bermunajat, berdoa, berzikir, qiamullail dan membaca selawat ke atas junjungan Rasulullah.
Sementara itu terdapat satu peristiwa besar dan paling bersejarah berlaku pada bulan Syaaban iaitu pertukaran arah kiblat daripada Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis ke Kaabah di Masjidilharam.
Peristiwa pertukaran kiblat itu berlaku di dalam masjid Qiblatain di Madinah iaitu ketika Rasulullah serta para sahabat sedang menunaikan solat Asar.
Peristiwa tersebut berlaku pada tahun kedua Hijrah, dalam bulan Syaaban.
Ia telah dirakamkan oleh Allah di dalam kitab suci al-Quran al-Karim pada ayat 144 surah al-Baqarah yang bermaksud: Kerap kali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka ke arah Al-Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka, dan Allah SWT tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.
Perubahan arah kiblat itu juga adalah satu tamparan cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmuqaddis hingga mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut mereka walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.
- UTUSAN