Kemajuan umat Islam bergantung kepada kewibawaan pemimpin
Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Sejarah membuktikan kemajuan yang dicapai negara umat Islam banyak bergantung kepada kewibawaan dan kemampuan kepemimpinan mengendali dan mentadbir sesebuah negara.
Kemuncak kecapaian kegemilangan umat Islam ialah pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW.
Bahkan, pada zaman itu umat manusia berada di kemuncak kejayaan. Nilai kemanusiaan yang utuh dihayati dengan sempurna seperti nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang dalam kehidupan bernegara. Kemuliaan tamadun itu mampu diteruskan oleh kepemimpinan Khalifah ar-Rashidin.
Kemampuan pemimpin melaksanakan nilai itu boleh menjadi penentu kepada kemajuan tamadun umat manusia. Kegagalan menghayati nilai itu, kepincangan dan kemelut hidup manusia akan wujud.
Dalam suasana semasa dan masa depan, kepemimpinan negara perlu memiliki ciri untuk membawa umat Islam maju ke hadapan.
Antara ciri itu ialah pemimpin negara perlu mendukung idealisme luhur, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat serta negara. Tanpa sifat itu negara tidak mungkin maju dan nasib rakyat tidak akan terbela.
Keadaan semasa jelas menyokong pandangan itu bahawa kemajuan sesebuah negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinannya.
Kedua, kepemimpinan negara perlu menguasai ilmu dan pemikiran mantap berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam. Justeru, sistem pengendalian negara perlu bersandarkan kepada asas fahaman didukung oleh arahan Ilahi.
Sistem Marxis/Komunis terpaksa berkubur kerana pendekatannya bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Banyak kerenah kemanusiaan terpaksa wujud disebabkan pendekatannya bercanggah fitrah manusia..
Sesebuah negara maju tidak dapat kekal kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak disertai nilai kemanusiaan.
Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat seperti rasuah secara berleluasa, amalan menindas, menipu dan sebagainya adalah fakta yang melemah dan meruntuhkan sesebuah sistem sosial bernegara.
Ketiga, kepemimpinan negara perlu dikendali oleh ahli politik pintar. Kebolehan itu penting kepada pemimpin politik akan diamanahkan menerajui negeri dan negara. Kejayaan kepemimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rashidun adalah bukti nyata. Dalam kajian oleh Profesor P Kotter dari Harvard Business School, 80 peratus kejayaan sesebuah organisasi bergantung rapat dengan mutu kepemimpinan.
Seseorang pemimpin perlu memahami suasana negara berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat serta sumber negara.
Mereka harus mampu menggembleng semua lapisan rakyat untuk memajukan negara pada peringkat tertinggi. Semua ahli masyarakat dalam negara hendaklah berperanan pada peringkat yang tertinggi dalam usaha pembangunan itu.
Keempat, kepemimpinan negara harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara berkesan di peringkat antarabangsa. Pada era globalisasi, sama ada kita mahu atau tidak, negara hanya boleh dimajukan di peringkat tinggi jika berkemampuan berperanan di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, setiap aktiviti ekonomi perlu bermatlamat untuk menguasai pasaran, jika mampu di pasaran antarabangsa. Justeru, kepemimpinan negara Islam tidak boleh memisahkan diri dengan ajaran Islam.
Untuk maju dan berjaya pada peringkat sejagat, Islam mempunyai pendekatan syumul berasaskan nilai kemanusiaan yang mampu bersaing dan seterusnya mengatasi pembangunan negara sekular yang pendekatannya bercanggah.
Kita yakin kekuatan yang ada dengan pendekatan Islam menyusun dan membangunkan negara menepati fitrah manusia. Mana-mana pendekatan menyusun dan memajukan masyarakat dan negara bertentangan fitrah kemanusiaan akan gagal mewujudkan sebuah peradaban manusia yang sempurna di dunia dan sudah pasti pembalasan negatif di akhirat.
Islam merangkumi segala aspek pengendalian hidup untuk individu, keluarga, masyarakat dan negara. Ia berasaskan falsafah tauhid, di mana tauhid mencorak cara hidup dan menjadi inti tamadun umat Islam. Ia juga asas falsafah sistem pengendalian negara.
Dengan mendukung falsafah tauhid, Islam berpandangan semua ciri keperluan manusia berada dalam satu kesatuan. Kesempurnaan keperibadian manusia akan tercapai jika semua ciri dalam dirinya diberi tumpuan sepenuhnya.
Keperluan kebendaan dan kerohanian manusia hendaklah dipenuhi secara bersepadu. Begitu juga kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Semua aspek keperluan diberi tumpuan saksama.
Dalam rangka ke arah pembentukan peribadi individu bersepadu, Islam menyarankan perlunya pelaksanaan sistem pengendalian negara dapat mendukung falsafah tauhid. Justeru, sistem pendidikan negara perlu melahirkan individu memiliki pandangan hidup sempurna, akhlak baik dan menguasai kemahiran hidup sesuai kemampuan masing-masing.
Pembentukan peribadi individu memerlukan suasana menyokong segala kegiatan dijalankan setiap individu. Polisi dan dasar pentadbiran negara hendaklah mengarahkan kepada kewujudan suasana keadilan dan muafakat di kalangan masyarakat.
Suasana itu akan membawa kepada keharmonian yang dapat menghasilkan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.
Berpandukan kepada pendekatan hidup berasaskan tauhid ini, pendekatan Islam dalam semua kegiatan aktiviti manusia, hendaklah menepati fitrah dan cita rasa manusia semula jadi. Islam tidak membebankan sesuatu tuntutan yang mustahil dapat dikendalikan oleh manusia.
Oleh itu, Islam adalah amali untuk semua masa, tempat dan individu sama ada beragama Islam ataupun tidak. Islam berpandangan mengingkari petunjuk Allah adalah amalan zalim terhadap diri sendiri, kefahamannya dan kebijaksanaannya.
Bahkan, keangkuhan kepada penolakan terhadap kebenaran wujudnya petunjuk Allah menyebabkan lahirnya pandangan hidup kebendaan dalam diri manusia dan masyarakat seperti dalam sistem ekonomi Kapitalisme dan Marxisme.
Oleh itu kepemimpinan negara umat Islam, wajib yakin kepada pendekatan Islam dan berjiwa ikhlas untuk membangun negara semoga kesemua lapisan rakyat memperoleh kemuliaan hidup serta dihormati oleh masyarakat antarabangsa.