Kritik bukan bererti tidak sokong

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun sering mengkritik kerajaan tetapi tidak bermakna beliau tidak menyokong kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, kritikan yang dilemparkan adalah berdasarkan kepada pandangan peribadi dan beliau berhak untuk mempunyai pandangan terhadap sesuatu isu.

“Setakat ini banyak perkara yang saya tidak bersetuju. Itu pendapat peribadi saya, saya berhak untuk mempunyai pandangan saya sendiri, tetapi ini tidak bermakna saya tidak menyokong kerajaan,” katanya ketika ditanya mengenai 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir yang ditemui selepas menyampaikan ucaptama majlis Wacana Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan daripada Perspektif 1Malaysia, semalam berkata, beliau masih belum boleh memberi nilai pentadbiran Najib.

“Saya belum melakukan kajian lagi... bukan satu kajian saintifik,” katanya.

Diminta mengulas perkara positif yang dilaksanakan Najib, Dr Mahathir berkata, antara perkara yang boleh dipuji ialah pendekatan Perdana Menteri keenam itu turun ke akar umbi melakukan tinjauan mesra dan bertemu lebih ramai masyarakat di peringkat bawahan.

“Najib berupaya berjumpa dengan ramai orang dan yang kedua beliau tidak tidur malam,” katanya.

Mengenai perkara negatif, Dr Mahathir berkata, antaranya mengenai cadangan jambatan ketiga ke Singapura dan kegagalan kerajaan untuk menangani isu rasuah dalam kerajaan apabila masih ada beberapa individu yang didapati bersalah melakukan rasuah masih memegang jawatan dalam Kabinet.

Ketika ditanya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikatakan penghalang kepada kemajuan ekonomi Malaysia, Tun Mahathir berkata, DEB bukan penghalang ekonomi negara.

Menyentuh soal tidak bersetuju beliau terhadap pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012, beliau berkata, apa yang dikatakannya itu berdasarkan yang betul.

“Saya cakap apa yang saya rasa betul, ini adalah masa depan anak-anak kita. Malah, apa yang saya buat dalam blog mengenai undian siapa sokong atau tidak dengan keputusan itu, bertujuan menilai pendapat orang ramai terutama ibu bapa mengenai hal itu,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu hari ini tidak puas hati apabila dituduh menjadi penghalang kepada perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

“Mereka bimbang dengan tuduhan itu dan wacana hari ini lebih kepada apa yang mereka ingin bincangkan dengan lebih mendalam apa yang berlaku dalam negara.

“Saya fikir, ini adalah satu perkembangan yang baik kerana mereka harus tahu keadaan sebenar yang berlaku dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir menggesa bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menjelaskan secara mendalam isu kediaman yang dikatakan bernilai RM24 juta kerana boleh jejas moral UMNO dan Barisan Nasional.

“Beliau perlu menjelaskan di mana beliau memperoleh wang... tak bolehlah kata RM3 juta. Saya pun ada rumah juga, rumah saya RM1 juta saya belanja di The Mines, rumah dia berapa kali besar daripada (rumah) saya,” katanya.

- SINAR HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url