'Mandat BNM kini lebih jelas'

Bank Negara Malaysia (BNM) kini mendapat mandat lebih jelas dengan kelulusan yang diberikan kepada Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia (BNM) 2009 di Dewan Negara semalam.

Gabenor, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, rang undang-undang itu menangani pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh BNM dalam abad ke-21 ini.

''Kuasa dan autonomi yang kini dimilikinya mencukupi untuk mencapai mandat tersebut, sekali gus menyediakan integriti dan kredibiliti terhadap keputusan yang dibuat oleh BNM,'' kata beliau ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis Syarahan Awam tentang krisis ekonomi oleh Profesor Dr. Takatoshi Ito di sini hari ini.

Menurut Dr. Zeti, dengan adanya rang undang-undang untuk mengawasi bank, ia memberikan tahap ketelusan yang tertinggi kepada kerajaan, undang-undang, pasaran dan orang ramai.

Lebih penting lagi, rang undang-undang itu juga akan memberi perhatian kepada isu-isu kestabilan kewangan yang dihadapi dalam krisis kewangan antarabangsa sekarang.

Ketika berucap, beliau berkata, meskipun krisis semasa tidak memberi impak ketara kepada sektor kewangan tetapi ia memberi kesan kepada sektor sebenar sehingga mengakibatkan perdagangan dunia merosot.

Jelasnya, krisis ekonomi yang bermula pada awal 2007 telah memberi kesan penuh kepada ekonomi negara pada pertengahan pertama tahun ini.

Katanya, sejarah telah menunjukkan berlakunya lebih 100 krisis perbankan dalam tempoh dua dekad, biarpun faktor pencetus berbeza tetapi kebanyakannya melibatkan gangguan kepada proses perantaraan, kejatuhan mendadak harga aset dan hilangnya keyakinan awam.

''Malaysia juga mempunyai pengalaman tersendiri dalam mengurus krisis kewangan pada 1997/98 mendapati reaksi segera dan bersepadu pada peringkat awal bukan hanya membawa kepada pemulihan awal tetapi juga mengurangkan kos kepada krisis sistem kewangan dan ekonomi,'' katanya.

Dr. Zeti berkata, usaha BNM untuk mengekalkan kestabilan tidak terhenti di situ sahaja selepas krisis berakhir tetapi sebaliknya turut meletakkan pemulihan ekonomi berada pada kedudukan yang kukuh.

''Pengajaran yang utama di sini adalah keupayaan (mencatat pemulihan awal) merupakan hasil daripada mengadakan asas yang kukuh pada masa ekonomi yang baik,'' tambah beliau.

Berikutan itu, katanya, Malaysia mampu mengharungi krisis ekonomi global kerana mempunyai landasan yang kukuh sejak beberapa tahun lalu untuk memastikan sistem kewangan berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran mendatang.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url