Maybank lancar SonyCard Visa
Kad kredit edisi terhad yang menyaksikan jalinan kerjasama antara Sony dan Visa itu hanya ditawarkan kepada 20,000 pelanggan di seluruh negara dan pengedarannya berdasarkan kepada 'siapa cepat, dia dapat'.
Kad kredit edisi terhad itu turut menawarkan 21 faedah dan keistimewaan termasuk peluang memenangi hadiah menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Menurut Naib Presiden Eksekutif Kanan, Perbankan Pengguna Maybank, Lim Hong Tat, pelancaran kad kredit itu bakal meningkatkan asas pelanggan Maybank yang kini berjumlah 1.6 juta pemegang kad merangkumi kad kredit Visa, Mastercard dan American Express.
"Kita menjangka asas pelanggan akan meningkat sehingga dua juta pemegang kad sehingga akhir tahun ini dan berharap kad kredit terbaru Maybank-Sony-Visa dapat menyumbang ke arah itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kad kredit itu di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan Sony Malaysia, Naoi Sudo dan Pengurus Negara Visa, Stuart Tomlinson.
Menurut Hong Tat, kad kredit itu direka khas khusus untuk meraikan satu-satunya kejohanan bola sepak yang ditunggu-tunggu oleh peminat di seluruh dunia.
Mengulas mengenai kelebihan SonyCard Visa itu, Sudo berkata, pelanggannya akan menikmati yuran tahunan percuma seumur hidup, kutipan 10 mata berganda bagi setiap pembelian barangan terpilih Sony, lanjutan jaminan setahun, diskaun eksklusif untuk setiap barang terpilih dan kejutan hari jadi.
Beliau berkata, pelancaran kad kredit itu juga bukan setakat kepada kempen Piala Dunia 2010 tetapi Sony turut diberi hak eksklusif untuk bersama FIFA bagi kejohanan yang sama pada tahun 2014.
Ujarnya, kerjasama dengan Maybank dan Visa juga memperlihatkan keupayaan para pelanggan Sony bertambah sejajar dengan peluasan kelulusan kad di samping ganjaran-ganjaran menarik ditawarkan nanti.
"Kami yakin dengan kerjasama ini akan meningkatkan asas pelanggan sekali gus menjadikannya satu kerjasama yang baik untuk masa depan," katanya.
- UTUSAN