Pelatih Institut Perguruan Raja Melewar tiada katil, almari

Anak saya adalah antara 180 orang guru pelatih tahun pertama (Ambilan KPLSPM Julai 2009) yang telah melaporkan diri ke Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan.

Pada 13 Julai 2009, selepas mendaftarkan diri, alangkah sedih dan hampa anak saya apabila ditempatkan ke dalam bilik asrama Blok D yang dihuni oleh dua guru pelatih senior.

Guru-guru pelatih lain yang baru mendaftar juga menghadapi nasib yang sama.

Di bilik tersebut hanya terdapat dua buah katil milik pelatih senior dan pelatih baru terpaksa tidur di atas lantai.

Para pelatih baru juga tiada almari untuk meletak dan menyimpan barangan yang dibawa dari kampung kerana dua buah almari yang sedia adalah milik dua orang senior.

Beg-beg berisi pakaian, barangan keperluan harian dan sebagainya terpaksa diletakkan di ruangan antara dua buah katil yang merupakan ruang kosong tunggal bilik tersebut.

Bilik tersebut hanya ada dua buah meja tulis dan dua kerusi untuk guru pelatih membuat assignment atau tugasan dan sebagainya dan kesemua itu telah dimiliki pelatih senior.

Di manakah para pelatih baru dapat membuat tugasan dan menelaah pelajaran?

Pihak Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) perlu prihatin terhadap kebajikan asas seorang guru pelatih baru.

Adalah menjadi tanggungjawab IPRM untuk menyedia dan membekalkan kemudahan asas seperti sebuah katil, almari dan meja tulis untuk setiap guru pelatih. Itu adalah hak setiap guru pelatih.

Yang paling menyedih dan menghampakan ialah pihak IPRM telah menyatakan bahawa guru-guru pelatih yang baru mendaftar terpaksa akur dengan keadaan sedemikian sehingga bulan November kerana kekurangan bilik.

Pihak IPRM telah memberi alasan yang tidak profesional dan berasas kerana pihak IPRM sudah sedia maklum dengan bilangan pelatih baru sebelum tarikh pendaftaran tetapi tidak membuat persediaan yang sepatutnya.

Keadaan serba kekurangan dan tidak terurus ini telah dan sedang memberi tamparan besar terhadap semangat guru pelatih baru yang datang dari jauh.

HAMBA ALLAH
Negeri Sembilan

- FORUM UTUSAN
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Khamis, 23 Julai 2009 pada 7:11:00 PTG SGT

    kalo tak puas ati,
    gitau la kat bahagian pengurusan pelajar iprm...
    jgn masukkan dlm media...
    jagalah maruah institusi perguruan...

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Jumaat, 24 Julai 2009 pada 1:51:00 PG SGT

    ehhhh...
    pe plk....
    kdg2 bgus gak wat komen rambang ni....
    sb klu komen kat pihak yg spatutnye pon, kekadang diorg ni wat blur jew....
    tp klu dh mlu...nme dh naek....bru sumenye boleh brubah....

Add Comment
comment url