SMIDEC dijenamakan semula

Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SMIDEC) dijenamakan semula dan dikenali sebagai SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) Malaysia dengan tujuan membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana yang kompetitif dan berdaya tahan dalam menangani krisis ekonomi.

Serentak dengan itu juga mulai tahun depan, pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berjaya menghasilkan produk baru bermutu tinggi berpeluang membekalkannya kepada jabatan atau agensi kerajaan yang memerlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, tawaran berkenaan merupakan ganjaran yang bakal diterima bagi menggalakkan 567,480 pengusaha PKS tempatan menghasilkan barangan atau perkhidmatan yang inovatif.

"Tahun depan kerajaan akan menganjurkan pameran atau forum untuk kita tunjukkan produk paling berinovatif di kalangan PKS.

"Hadiah sangat lumayan akan disediakan oleh kerajaan termasuk kemungkinan pembelian barangan atau perkhidmatan paling inovatif," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan Kesembilan di sini hari ini.

Najib memberitahu, pameran tersebut akan dipecahkan mengikut kategori produk seperti asas tani, perkhidmatan dan pembuatan.

Beliau menambah, garis panduan mengenainya sedang disediakan oleh SME Corp. Malaysia dan akan dibentangkan pada mesyuarat majlis hujung tahun ini.

Menurutnya, antara fungsi utama SME Corp. Malaysia yang dijangka beroperasi pada Ogos ini adalah sebagai pusat maklumat dan rujukan setempat, menyelaras dasar dan program serta mengurus data, maklumat dan kajian berkaitan PKS.

"SME Corp. Malaysia akan menjadi sebuah pusat rujukan yang membolehkan sesiapa saja mendapatkan bantuan malah SME Bank boleh merujuk kepadanya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Najib menjelaskan sebanyak 174 program khas sedang dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan kewangan RM3.04 bilion bagi membantu PKS.

"Daripada jumlah ini, 17 adalah program baru bagi tujuan bina upaya melibatkan komitmen kewangan berjumlah RM19.4 juta.

"Sebagai tambahan, 17 program lain juga telah diperkenalkan di bawah Pakej Rangsangan Kedua dengan peruntukan berjumlah RM11.9 bilion bagi tujuan pembiayaan, bina upaya dan penyediaan infrastruktur," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url