Tiada cadangan lancar pakej rangsangan ketiga

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan pakej rangsangan ketiga kerana Malaysia mahu mengelak daripada terpaksa menanggung beban defisit fiskal yang tinggi.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sudah melancarkan dua pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion dan pakej kedua bernilai RM60 bilion yang diumumkan Mac lalu disasarkan untuk meliputi tempoh dua tahun.

Pakej rangsangan pertama bernilai RM7 bilion diperkenalkan pada November lalu.

"Saya cuba mengelakkan (untuk memperkenalkan) pakej rangsangan ketiga kerana ia mendedahkan kita kepada risiko (defisit fiskal tinggi). Bagaimanapun, jika jika ada cara lain untuk kita merangsang ekonomi, saya terbuka mendengarnya.

"Kita memantau dengan teliti defisit fiskal," katanya dalam wawancara dengan CNBC, rangkaian televisyen berita kewangan yang disiarkan melalui saluran 518 Astro, semalam.

Najib berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan memperkenalkan satu lagi pakej rangsangan jika ekonomi global dan Malaysia mengalami kemelesetan lewat tahun ini.

"Jika diperkenalkan pun, dana pakej rangsangan ketiga perlu diperoleh daripada kecairan di dalam pasaran dan bukannya daripada akaun kerajaan," katanya.

"Kita percaya menjelang akhir tahun ini dan awal tahun depan, kita sepatutnya menyaksikan pemulihan tetap ekonomi global. Ketika itu berlaku, Malaysia akan berada dalam kedudukan lebih baik dan dan mendapat lebih perhatian daripada pelabur," katanya.

Menjawab soalan lain, Najib berkata, kerajaan tidak bercadang meniagakan ringgit di pasaran antarabangsa kerana ia mempunyai risiko dan Malaysia masih ingat pengalaman pahitnya ketika krisis kewangan Asia pada 1997/98.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url