Saintis Malaysia pecah teori sains

Saintis tempatan, Dr Gabriel Walter melakar sejarah dalan dunia saintifik apabila mencipta Transistor Pemancar Cahaya (LET) yang mampu beroperasi pada gelombang 4.3GHz dan 7GHz jika menggunakan Diod Pemancar Cahaya (LED).

Sebelum ini, industri sains mempercayai perkakasan cahaya spontan yang efisien tidak boleh beroperasi pada gelombang melebihi 1GHz namun selepas lima tahun kajian dijalankan, Walter memecahkan teori terbabit.

Beliau yang juga pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Quantum Electro Opto Systems (QEOS) Sdn Bhd, berkata LED QEOS berkelajuan gigabit adalah perkakasan unik kerana kosnya yang rendah untuk dihasilkan serta mudah digunakan seperti didapati pada mentol lampu.

"Tentunya ia akan mencetuskan tekanan pada harga produk berkaitan dalam pasaran elektronik," katanya yang bekerjasama dengan universiti terkemuka, University of Illinois Urban Champaign (UIUC) bagi penemuan itu.

Katanya, bagi penggunaan gentian optik, LED mampu memberi penjimatan tenaga sebanyak 90 peratus berbanding dengan penyelesaian optikal sedia ada.

"Ketika masyarakat bercakap mengenai penjimatan tenaga dan isu pemanasan global, penemuan ini dilihat penting dalam teknologi alam sekitar dengan menawarkan produk 'hijau' yang menawarkan kos berpatutan.

"LED berkelajuan tinggi itu bakal merubah senario biasa yang dilihat pada kabel konvensional pada televisyen dan monitor. Ia bakal merubah segala-galanya," kata Walter.

Penyelidikan Walter turut terpilih untuk dimuatkan dalam jurnal teknikal yang memiliki edaran paling tinggi di dunia, Applied Physics Letters bagi edisi 15 Jun 2009.

Walter berkata, penerbitan kejayaan LET kelajuan tinggi 4.3 GHz dalam jurnal itu satu pencapaian yang besar kerana perkakasan berkenaan mempunyai kemampuan tambahan untuk menyatukan optoelektronik.

"Seperti juga transistor kepada dunia elektronik, alat ini memberi fungsi yang sama kepada dunia optoelektronik. Potensi aplikasinya tiada batasan," katanya.

Sekurang-kurangnya empat paten penting difailkan pasukan QEOS-UIUC untuk melindungi penemuan berkenaan.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url