Akta ISA boleh dipinda bukan dimansuh - Zahid Hamidi

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah mustahil untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, tetapi ia boleh dipinda atau ditukar namanya supaya lebih bersesuaian dengan keadaan semasa.

Beliau berkata negara memerlukan undangundang seperti ISA yang boleh menahan seseorang itu untuk disoal siasat sebelum sesuatu perkara atau kes itu dibawa ke mahkamah, selain turut memerlukan undangundang lain.

"Pada hemat saya, kita jangan lihat dalam negara kita sahaja. Lihat di negara jiran kita atau di negaranegara lain. Mereka pun mempunyai undang-undang yang lebih kurang sama atau yang lebih keras daripada itu.

"Maka ianya (ISA) adalah bertujuan untuk mewujudkan kestabilan ekonomi dan politik supaya tidak menimbulkan permasalahan agama, kaum dan budaya dan inilah yang mahu ditekankan oleh pihak kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pidato Politik anjuran Umno bahagian Cheras di sini hari ini.

Mengulas mengenai perhimpunan yang diadakan di ibu negara hari ini oleh dua badan bukan kerajaan iaitu Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) yang membantah undang-undang itu dan Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mahu ISA dikekalkan, Ahmad Zahid berkata pihak berkenaan tidak perlu takut dengan kewujudan ISA jika mereka tidak melakukan kesalahan.

"Saya bercakap atas pengalaman pada tahun 1998. Saya rasakan walaupun masa itu saya ditahan (di bawah ISA), saya reda dengan keadaan itu. Apabila saya ditanya dan disoal siasat, saya berpendapat polis telah menjalankan kerja secara profesional," kata Ahmad Zahid.

Pada majlis yang sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan berkata pembangkang cuma mahu mengambil kesempatan untuk mengadakan demonstrasi sedangkan mereka sudah tahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merombak ISA.

"Sepatutnya mereka memberikan pandangan-pandangan secara bijaksana, bertulis, menggunakan fakta-fakta jika ingin membuat apa-apa cadangan, bukan dengan cara menyusahkan rakyat, sehingga jalan sesak," kata beliau.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url