Top Ad 728x90

,

Budaya sukarela menebal di Britain

Oleh Siti Suriani Othman
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Mungkin masih ada pembaca ingat mengenai artikel yang pernah saya tulis berkaitan budaya 'memberi dan menerima' yang disebarkan secara online di United Kingdom (UK). Budaya yang berbeza, tetapi unik ini bukan saja secara tidak langsung memberi kemudahan kepada pelajar asing seperti kami, malah juga mengeratkan muhibah dengan warga tempatan yang kebanyakannya ramah.

Yang paling indah, ia menggambarkan keindahan Islam yang kadang-kala lebih terpancar di sini berbanding di negara Islam sendiri. Hal ini, mungkin perlu kita fikirkan, analisis dan mula terapkan di kalangan umat Islam di Malaysia.

Minggu ini saya tertarik pula membawa perbincangan daripada pemerhatian dan pengalaman hasil iklan sebuah laman web yang berfungsi hampir sama dengan RealCycle Nottingham, iaitu Gumtree Nottingham. Selain menyediakan kemudahan jual beli pelbagai jenis produk dan fungsi lainnya dalam alam maya, laman ini juga menyediakan ruang untuk kerja sukarela secara percuma atau dengan sedikit bayaran yang diiklan kepada warga tempatan.

Antaranya ialah mengajar bahasa asing seperti bahasa Arab, bahasa Perancis dan bahasa Sepanyol, pembelajaran sukarela bahasa yang berbeza antara dua individu secara percuma dan hebahan berkaitan program kemasyarakatan.

Paling menarik, baru-baru ini saya terbaca iklan oleh seorang warga tempatan yang secara sukarela menawarkan diri untuk mengajar bahasa Inggeris kepada sesiapa yang berminat dengan percuma. Tujuannya ialah untuk menimba pengalaman kerana beliau mempunyai ijazah pertama dalam bidang perguruan, tetapi tiada pengalaman mengajar.

Oleh itu, untuk memastikan cukup berpengalaman dia mengiklankan khidmat pengajaran bahasa secara percuma. Pertemuan kali pertama di sebuah kafe di Nottingham hanyalah perkenalan tidak formal kami. Nyata gadis Britain ini seorang yang peramah dan mudah mesra serta sedia dengan pelbagai soalan yang perlu untuknya mengenali 'pelajar' barunya itu.

Selain latar belakang pendidikan dan skop pengajaran, saya turut mengambil peluang untuk bertanyakan mengenai 'guru' baru itu. Dalam hati masih banyak soalan yang bermain di fikiran, dari segi masa tenaganya yang 'diberikan' secara percuma, adakah berbaloi apa yang dilakukannya ini untuk dirinya memandangkan skop pengajaran yang saya mohon ialah penulisan bahasa Inggeris tahap tinggi untuk membantu proses penulisan tesis doktor falsafah ini keseluruhannya.

Pastinya itu adalah satu tugas berat yang sebelum ini dibantu oleh pensyarah Pusat Bahasa Universiti dalam kelas mingguan yang diadakan secara percuma, tetapi tidak wajib bagi pelajar doktor falsafah bukan warga tempatan.

Menariknya personaliti gadis yang merendah diri ini membuatkan pertemuan kali pertama itu tidak membosankan, jauh lagi kekok bagi kami berdua. Saya mengambil peluang ini bertanyakan soalan yang bermain di fikiran tadi, termasuk sedikit sebanyak mengenai keadaan ekonominya kerana tawaran percuma yang diberikannya.

Sangkaan awal tentulah dia jauh daripada masalah kewangan kerana jika tidak, pastinya dia berfikir dua kali untuk menawarkan khidmat secara tidak berbayar. Namun, sangkaan saya meleset. Paling mengharukan apabila dia berkongsi cerita mengenai dia kini menjaga seorang temannya yang tidak bekerja, tetapi mengalami tekanan mental kerana keperitan hidup dan kematian keluarga terdekat selama hampir setahun.

Selain itu, dia turut tidak malu menyatakan mengenai kerjayanya dengan pusat sukarela yang tidak stabil. Jika tiada dana untuk meneruskan projek kemasyarakatan di mana dia bekerja sekarang, maka dia akan hilang pekerjaan dua bulan lagi. Untuk kerja di tempat 'kebanyakan' seperti bar dan kedai katanya, tidak mengembangkan minda dan menyekat peluangnya untuk berbakti kepada masyarakat.

Kehidupan digambarkan nyata membuatkan hati ini berkata: 'jika kita berasakan kita susah, masih ada orang yang lebih susah, tetapi dalam bentuk cabaran yang berbeza'. Belajar di tempat orang pada peringkat ini sudah cukup dengan pelbagai dugaan dan tekanan, tetapi nyata kehidupan gadis ini saya klasifikasikan 'lebih menekan'.

Namun dalam tekanan itu, dia tetap mengutamakan 'ilmu' dan 'pengalaman' yang diperolehnya daripada sesuatu perbuatan. Ganjaran material bukanlah keutamaan, tetapi 'nilai' apa yang diperoleh untuk dirinya dan 'nilai' dirinya kepada masyarakat, itulah yang utama.

Malu rasanya jika 'jihad' gadis ini dengan apa yang sudah kita lakukan dalam kehidupan. Sifat keperibadian Muslim yang dituntut menyerlah padanya. Bila diukur semula, apa silapnya kadang-kala masyarakat yang dikatakan sebagai tidak bermoral berbanding umat Islam lebih tekun dalam soal nilai ilmu serta nilai diri dan kasih sayang kepada masyarakat.

Mungkin pengalaman mengenali individu seperti ini membuka minda, membuka hati kita untuk belajar, bermuhasabah dan cuba menerapkan nilai yang sepatutnya memang sudah wujud dalam diri seperti kita diajar sedari kecil.

Begitu besar 'nilai' apa yang dilakukan gadis ini berbanding dengan keadaan yang dialaminya dengan kerja sukarelanya membantu saya. Mungkinkah kita dapat mewujudkan komuniti yang sedia membantu mereka yang tidak dikenali, tambahan lagi dalam contoh saya ini, pelajar asing yang berlainan agama, berlainan warna kulit?

Namun, tidaklah dengan contoh sekecil ini kita boleh copkan seluruh warga Britain ini 'tidak bersikap perkauman'. Daripada pengalaman dan pemerhatian, ada sesetengah mereka yang agak perkauman dari segi perbualan dan layanan.

Tetapi dengan sikap murni sesetengah mereka (dengan apa motif sekalipun untuk dirinya sendiri) budaya sukarela di Malaysia masih belum menjadi budaya yang dikongsi bersama, yang sebenarnya mampu berfungsi bukan hanya mengeratkan hubungan sesama etnik yang pelbagai, malah turut memberi satu bentuk 'jaminan' perpaduan jangka panjang kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Semoga bulan kemerdekaan kita tahun ini lebih bermakna, membawa Malaysia ke arah negara majmuk yang lebih padu dan ber'nilai' mulia.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90