Dataran Merdeka turut dikenali Dataran Budaya

Dataran Merdeka yang menjadi antara komponen utama sektor pelancongan di negara ini, akan turut dikenali sebagai Dataran Budaya bagi melambangkan semangat rakyat dalam mempertahankan budaya dan seni negara.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet, yang turut memberi tempoh sehingga 31 Ogos tahun depan bagi menilai keberkesanan program kebudayaan dan kesenian dilaksanakan itu.

“Kerajaan akan menjadikan setiap Sabtu sebagai hari menjalankan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan membabitkan penyertaan rakyat pelbagai peringkat umur dan kaum.

“Langkah ini bukan saja akan mewariskan apa kita ada kepada generasi baru, malah menjadi pencetus kejayaan lebih besar berasaskan identiti sendiri,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Seni Bela Diri 1Malaysia dan Pelancaran Dataran Budaya, di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Rais berkata, kepelbagaian seni mempertahankan diri yang ada di Malaysia boleh dijadikan asas kepada usaha membangunkan rakyat bertanggungjawab bagi terus memacu pembangunan negara seperti dihasratkan kerajaan.

“Kita percaya anak kecil yang belajar seni mempertahankan diri mampu menjadi orang berdisiplin dan pemimpin masa depan. Kesungguhan supaya rakyat mempertahankan budaya dan kesenian bangsa yang beridentitikan Malaysia adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memartabatkan budaya dan kesenian,” katanya.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url