Discovery berjaya berlepas ke angkasa


Kapal angkasa Amerika Syarikat (AS), Discovery berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di sini malam tadi dalam misi ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Pelancaran itu berlaku mengikut jadual pada 11.59 malam tadi (11.59 pagi ini waktu Malaysia) dan Discovery memasuki orbit beberapa minit kemudian.

Kapal angkasa itu serta tujuh angkasawannya termasuk seorang warga Sweden dalam misi untuk menghantar bekalan ke ISS, antaranya kelengkapan untuk sebuah bilik tidur baru, sebuah alat senaman treadmill, sebuah peti sejuk beku, makanan dan keperluan lain.

Ia juga membawa anggota terbaru untuk pasukan ISS, angkasawan AS, Nicole Stott.

Stott akan mengambil alih tugas daripada jurutera dan rakan senegara, Tim Kopra yang berada di ISS sejak Julai lalu dan dijadual kembali ke Bumi bersama-sama Discovery.

Pelancaran tersebut tergendala sebanyak tiga kali. Percubaan pertama pada Selasa lalu dibatalkan pada saat-saat akhir apabila keadaan cuaca dianggap terlalu berbahaya, manakala dua percubaan berikutnya gagal disebabkan masalah injap hidrogen cecair.

Krew yang diketuai oleh Rick Sturckow itu menghantar 6.8 tan kargo ke ISS di dalam modul bernama Leonardo yang dibina oleh agensi angkasa lepas Itali.

Dua angkasawan daripada pasukan itu dijadual melakukan tiga operasi berjalan di ruang angkasa selama enam jam setengah setiap satu semasa misi 13 hari itu.

Antara tujuan utama operasi tersebut adalah untuk menggantikan sebuah tangki lama mengandungi ammonia cecair dengan tangki baru seberat 800 kilogram yang dibawa dari Bumi dengan Discovery. Bahan itu digunakan sebagai alat pendingin.

Angkasawan juga akan mendapatkan balik peralatan eksperimen dari luar ISS dan membawanya balik ke Bumi untuk diproses.

Misi tersebut adalah yang ke-128 bagi program kapal angkasa AS dan misi ke-30 ke ISS.

Apabila misi Discovery selesai nanti, cuma tinggal enam lagi penerbangan sebelum ketiga-tiga kapal angkasa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) itu 'dibersarakan' pada September 2010.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url