Top Ad 728x90

Ekonomi Malaysia suku kedua kuncup 3.9 peratus

Ekonomi Malaysia menguncup 3.9 peratus pada suku kedua lalu, jauh lebih baik berbanding penguncupan 6.2 peratus dalam suku pertama.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata prospek pada suku ketiga ini terus bertambah baik dan ekonomi negara dijangka kembali mencatat pertumbuhan positif dalam suku keempat.

Beliau berkata, ini disandarkan kepada jangkaan yang sektor domestik akan terus meningkat berikutan akses kepada pembiayaan yang terbuka luas.

Pasaran kewangan juga, katanya dijangka kekal stabil serta menggalakkan, pasaran buruh terus meningkat, manakala sektor isi rumah serta perniagaan yang tidak terjejas akan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam separuh kedua ini.

Berikutan itu, Zeti berkata, kerajaan dijangkakan membuat semakan semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi seluruh tahun ini ketika pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober ini.

Kerajaan sebelum ini mengunjurkan ekonomi negara akan menguncup antara empat peratus dan lima peratus tahun ini.

"Kami menjangkakan ekonomi negara pada suku ketiga akan terus pulih dengan kadar penguncupan makin berkurangan. Kami juga menjangkakan suku keempat akan menunjukkan pertumbuhan positif," katanya pada sidang media bagi mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku kedua 2009, di Kuala Lumpur, semalam.

Zeti berkata, berikutan prestasi pada suku kedua itu, ekonomi negara hanya menguncup 5.1 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Beliau menjelaskan, prestasi lebih baik pada suku kedua lalu disumbangkan terutama oleh perbelanjaan awam lebih tinggi serta pertumbuhan positif dalam penggunaan swasta.

Dalam tempoh dikaji, katanya, semua sektor ekonomi mencatat prestasi lebih baik dengan sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan 1.6 peratus berbanding penguncupan 0.2 peratus dalam suku pertama, manakala kemerosotan dalam sektor perkilangan pula menyederhana pada 14.5 peratus daripada 17.9 peratus dalam suku pertama.

"Pertumbuhan sektor pembinaan pula bertambah kukuh pada kadar 2.8 peratus daripada 1.1 peratus kerana mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan fiskal," katanya.

Zeti berkata, sektor pertanian kembali pulih dengan mencatat pertumbuhan 0.3 peratus berbanding penguncupan 4.9 peratus dalam suku pertama, manakala perlombongan merosot pada kadar lebih sederhana iaitu 2.6 peratus daripada 5.2 peratus berikutan kemerosotan pengeluaran gas asli dan minyak mentah.

Keseluruhannya, Zeti berkata, pertumbuhan ekonomi terus dipengaruhi oleh kemerosotan ketara dalam permintaan luar negara dan aktiviti pelaburan swasta yang lemah.

Dalam tempoh suku kedua itu juga, katanya eksport bersih barangan dan perkhidmatan benar negara merosot 0.7 peratus akibat daripada ekonomi global yang terus lembap.

Bagaimanapun, katanya aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada asas tunai dalam suku kedua lalu adalah lebih tinggi pada RM10.4 bilion berbanding RM6.8 bilion pada suku pertama dan ini mencerminkan aliran masuk modal ekuiti yang lebih tinggi.

FDI bersih katanya, berjumlah RM6.7 bilion, meningkat berbanding RM2.1 bilion dalam suku pertama dan disalurkan terutama ke dalam sektor minyak dan gas serta perkilangan.

Sementara itu, Zeti berkata, rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah RM322.9 bilion setakat 30 Jun lalu, memadai untuk membiayai sembilan bulan import tertangguh dan ini mencerminkan 3.8 kali hutang jangka pendek negara.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90