Harga topeng muka naik mendadak

Akibat kerisauan orang ramai serta sikap mengambil kesempatan peniaga terhadap wabak Influenza A (H1N1) menyebabkan harga topeng muka meningkat sehingga mencecah RM1.60 berbanding 80 sen sebelum ini.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa farmasi mendapati kotak yang mengandungi 50 keping topeng muka itu mampu dijual 10 kotak dalam tempoh masa tidak sampai setengah hari.

Pekerja Farmasi Ilham, Kamariah Salleh berkata, topeng muka yang dijual di farmasi itu mempunyai tiga jenis iaitu tiga lapis dijual dengan harga RM1, bulat dengan penapis habuk RM24 dan bulat tanpa penapis habuk RM8.50.

“Topeng muka jenis tiga lapis sering mendapat permintaan daripada pengguna mungkin kerana harganya yang rendah dan ia juga mudah untuk dipakai.

“Berdasarkan hasil jualan kami mendapati permintaan terhadap topeng muka itu juga lebih tinggi berbanding musim jerebu di mana orang ramai juga disarankan memakai topeng muka,” katanya.

Pekerja Online Pursuit, Azlina Ismail berkata, kilang pengeluar yang mengehadkan 100 kotak bagi setiap farmasi atau kedai telah memaksa pihaknya menaikkan harga 20 sen bagi menjadi RM1.

“Walaupun harganya meningkat tetapi ia tidak menjejaskan penjualan kerana berdasarkan kutipan jualan yang tidak sampai satu hari kami sudah mampu menjual 20 kotak topeng muka,” katanya.

Orang ramai yang ditemui pula berpendapat kenaikan harga topeng muka yang terlalu tinggi adalah tidak wajar kerana ia kini sudah menjadi satu keperluan asas kepada orang ramai.

J Saloman, 51, berkata, syarikat ataupun sekolah perlulah menyediakan topeng muka kepada pekerja dan pelajar bagi membantu mencegah wabak ini.

“Harga topeng muka itu juga mungkin dikurang sekiranya ianya dibeli dengan banyak,” katanya.

Rosliza Mohd Rashid, 22, berkata, dia membeli topeng muka dengan harga yang tinggi iaitu RM1.60 bagi sekeping topeng muka tiga lapis tiga hari yang lepas.

“Harga yang tinggi juga akan menyusahkan golongan seperti pelajar untuk membelinya kerana topeng muka itu tidak boleh dipakai berulang kali,” katanya.

C K Yg, 31, pula berkata, penjual perlulah bersikap lebih bertimbang rasa dengan tidak menaikkan harga topeng muka dengan sewenang-wenangnya.

- SINAR HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url