Ibadat puasa Ramadan unik
Pensyarah Kolej Komuniti Gerik, Perak
PUASA terdapat di dalam hampir kebanyakan agama. Di era ketamadunan Greek juga sudah ada amalan-amalan puasa tertentu yang dipraktikkan. Hippocrates, bapa perubatan, juga mengesyorkan puasa kepada ramai pesakitnya. Syariat para Nabi terdahulu juga tidak terkecuali daripada ibadat puasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman difardukan ke atas kamu puasa seperti mana difardukan ke atas umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu dari kalangan orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah:183)
Al-Qurtubi menyatakan Allah SWT telah mensyariatkan puasa Ramadan kepada kaum Nabi Musa a.s dan kaum Nabi Isa a.s tetapi mereka telah mengubahnya dan menambah jumlah harinya kepada 50 hari.
Puasa Nasrani ialah meninggalkan makanan bersumberkan binatang seperti daging, susu, lemak dan lain-lain. Sesetengah Katolik berpuasa dengan tidak makan tetapi dibenarkan meminum air.
Orang Yahudi diwajibkan berpuasa selama dua puluh lima jam pada youm kabur. Terdapat agama yang hanya membenarkan memakan nasi ketika berpuasa. Ada juga agama yang membenarkan memakan sekali sahaja dalam sehari ketika berpuasa.
Terdapat kepercayaan yang menyuruh pengikutnya berpuasa pada waktu malam sahaja. Sesetengah agama hanya mewajibkan puasa kepada golongan ahli agama (sami). Amalan orang Parsi purba berpuasa dua hari berturut-berturut tanpa berbuka - pada bulan purnama. Terdapat pelbagai bentuk puasa lain yang diamalkan mengikut kepercayaan dan pegangan agama yang dianuti.
Dalam kepelbagaian bentuk puasa yang diamalkan, Islam datang mensyariatkan puasa yang ditakrifkan sebagai menahan diri daripada makan, minum dan persetubuhan bermula dari terbit fajar (subuh) sehinggalah terbenam matahari (Maghrib).
Islam juga menganjurkan tuntutan-tuntutan yang lain ketika berpuasa seperti menjaga akhlak dan menyempurnakan perkara-perkara sunat yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.
Apabila menyusuri aturan Islam dalam berpuasa, ternyata ia suatu syariat yang unik, menjangkau akal pemikiran manusia.
Ia bukanlah rekaan manusia bahkan ia datang daripada Allah SWT. Justeru, ia adalah sebahagian daripada nilai kemukjizatan syariat di dalam al-Quran.
Salah al-Khalidi menyatakan puasa yang disyariatkan oleh Islam bersifat fitrah dan sederhana. Ia bertitik tolak dari dasar syariat Islam yang bersifat wasati (sederhana).
Jika ditinjau ibadat puasa dalam agama-agama lain, ternyata puasa dalam Islam mempunyai keunikannya yang tersendiri di mana ia tidaklah memudaratkan mereka yang mengamalkannya dan dalam masa yang sama ia tidaklah terlampau ringan.
Dari sudut perubatan, tempoh puasa Ramadan iaitu selama 14 hingga 16 jam sehari ternyata tidak memudaratkan kesihatan manusia yang normal.
Justeru, Islam menggalakkan mereka yang berpuasa menyegerakan berbuka puasa. Ini bagi memastikan tubuh badan kita menerima sumber makanan untuk diserap selepas tempoh yang dinyatakan di atas.
Dalam masa yang sama, tempoh tersebut mencukupi untuk melemahkan hawa nafsu manusia yang melampau, mencukupi untuk kita selami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh orang lain.