Top Ad 728x90

,

Imam, bilal diberi kuasa tahan orang Islam minum arak

Pegawai masjid di Selangor diberi kuasa menahan tanpa waran orang Islam yang melakukan kesalahan membabitkan arak, berkuat kuasa serta-merta.

Pegawai masjid iaitu nazir, imam, bilal dan siak boleh menangkap orang Islam yang melakukan kesalahan jenayah syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata pegawai masjid itu akan diberi penerangan dan latihan secara berperingkat untuk menguatkuasakan enakmen itu.

"Kita lakukan ini untuk selamatkan orang Islam dan ada kes remaja dan belia yang memandu kereta mewah serta terbunuh dalam kemalangan jalan raya disahkan di bawah pengaruh arak," katanya di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Hasan berkata, tindakan penguatkuasaan itu hanya untuk orang Islam tanpa mengganggu hak atau menghalang kebebasan bukan Islam untuk minum atau membeli minuman keras.

"Kita tidak mahu lagi timbul salah faham dan kontroversi sehingga mengelirukan orang bukan Islam," katanya.

Mengikut Seksyen 18 enakmen berkenaan, orang Islam yang mengambil minuman memabukkan di kedai atau tempat awam adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM3,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen itu turut menyebut orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamer, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan boleh didenda tidak lebih RM5,000, penjara kurang tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Kamar Penasihat Undang-Undang negeri, Mohamed Fouzi Mokhtar, berkata pegawai masjid tidak boleh menahan pesalah sehingga 24 jam kerana kuasa diberikan terhad berbanding polis dan pegawai penguat kuasa.

Katanya, pegawai masjid sebaliknya mesti menyerahkan pesalah kepada polis atau pihak berkuasa lain dan perlu membuat laporan polis jika berlaku kejadian atau kekasaran.

"Tangkapan mesti dibuat mengikut peraturan bagi mengelak risiko disaman kerana mereka boleh disaman atas kapasiti individu bukannya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada kira-kira 1,000 pegawai masjid.

Mohamed Fouzi berkata, pegawai masjid juga berkuasa mengambil tindakan terhadap kedai serbaneka 24 jam yang menjual minuman keras menggunakan kuasa diperuntukkan itu.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90