Istimewa Ramadan TV3, TV9

Sempena kehadiran Ramadan tidak lama lagi, stesen televisyen TV3 dan TV9 melancarkan tagline sendiri bagi menyinari penonton dengan kepelbagaian program menarik masing-masing.

Bukan sekadar program bercorak ilmiah, TV3 menerusi tagline Renda Ramadan TV3 manakala TV9 dengan Ramadan@9 tidak lupa menyajikan rancangan lain termasuk drama bersiri, travelogue serta program khusus untuk kanak-kanak.

Renda Ramadan TV3 antara lain memaparkan program seperti Singgah Sahur, Kalamullah, Jejak Rasul 15 (Sirah Anbiya), Shamsul@Bazaar Ramadan dan Haiwan Teladan 2.

Cerekarama, drama serta filem sempena kehadiran Ramadan yang bercorak pengajaran serta tauladan juga ditampilkan seperti Anak-Anak Ramadan, Pertama Ramadan... Datang Lagi, Berakhirnya Sebuah Ramadan, Qana'ah, Tain, Bukan Bidadari, Senandung SI Dayang dan Ayat-Ayat Cinta.

Begitu juga di TV9 apabila menyajikan al-Risaalah, Jelajah Ramadan, Jom Berbuka, Adik Di 9 Ramadan, Resipi Istana, Tanyalah Ustaz dan Ustaz Zamri Bercerita.

Sungguhpun begitu, di sebalik himpunan program-program menarik berkenaan, program bercorak pengembaraan menyelami perjuangan para Nabi dan ketamadunan Islam pastinya menjadi pilihan penonton terutamanya Jejak Rasul 15 (Sirah Anbiya) dan al-Risaalah.

Menariknya, Jejak Rasul 15 kali ini bakal mengupas sejarah Nabi dan Rasul serta kisah-kisah penuh pengajaran yang disebut di dalam al-Quran serta Sunnah.

Mendapat khidmat Produser Kanan, Jasmi Shahir selaku penerbit, Jejak Rasul 15 yang mengekalkan Ahmad Noor Sulaiman selaku pengantara akan membawa penonton ke beberapa negara seperti Mesir, Syria, Jordan, Israel, Turki, Arab Saudi dan Yaman.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, istimewanya Jejak Rasul 15 ialah apabila ia akan mengimbas kembali lokasi pengambaran krew Jejak Rasul yang pernah dilawati di musim pertama, 14 tahun lalu.

"Ia akan memaparkan perkembangan dan perubahan yang berlaku ke atas lokasi pengambaran berkenaan.

"Apa yang penting, Jejak Rasul 15 akan memperlihatkan visual terbaru lokasi tersebut yang pernah dirakamkan sekitar 14 tahun lalu.

"Mungkin dahulu kawasan pengambaran yang terlibat tidak punyai jalan raya atau sebagainya dan perubahan tersebut akan dapat disaksikan di Jejak Rasul 15,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Renda Ramadan TV3 dan Ramadan@9 di Masjid al-Bukhary, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jejak Rasul 15 (Sirah Anbiya) yang menjalani pengambaran selama 95 hari akan disiarkan mulai 22 Ogos iaitu setiap Isnin hingga Ahad, pukul 6 petang.

Menurut Nurul Aini, selain Jejak Rasul 15, TV3 turut mempertaruhkan program khusus untuk kanak-kanak iaitu Anak-Anak Ramadan yang bersiaran mulai 28 Ogos ini, pada setiap Jumaat, pukul 6.30 petang.

Katanya, Anak-Anak Ramadan merupakan sebuah program baru yang mendalami kisah empat keluarga dan kanak-kanak di dalam keluarga berkenaan.

"Menerusi Anak-Anak Ramadan, kita akan dapat menyaksikan telatah kanak-kanak menjalani ibadah puasa.

"Ia juga menyelitkan unsur-unsur pengajaran kepada keluarga untuk membimbing kanak-kanak di bulan Ramadan yang mulia ini,'' jelasnya.

Program menarik Ramadan@9

Sementara itu, jika di pihak TV3 mengenengahkan Jejak Rasul 15, TV9 juga tidak ketinggalan memiliki sebuah program bercorak dokumentari mengenai kerasulan iaitu al-Risaalah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV9, Bukhari Che Muda berkata, al-Risaalah untuk musim ketiga lebih memfokus kepada Nabi Isa dan juga kisah para Nabi yang tidak termaktub dalam al-Quran antaranya Amof, Mika serta Yusha bin Nun.

"Menerusi al-Risaalah, beberapa persoalan akan dilontar dan dijawab membabitkan Nabi Isa seperti yang dinyatakan al-Quran,'' ujarnya.

Jelas Bukhari, TV9 juga menyajikan program bercorak pengembaraan iaitu Jelajah Ramadan yang akan memperlihatkan bagaimana kehidupan masyarakat Islam di kawasan terpencil menyambut Ramadan.

Antara lokasi yang dilawat adalah di Longbusang, Sarawak dan Pulau Omadal di Sabah.

"Di Longbusang, krew penerbitan telah merakamkan pengertian Ramadan kira-kira 200 penduduk Islam suku kaum Kenyah dan 300 orang Islam suku kaum Bajau Laut di Pulau Omadal.

"Jelajah Ramadan akan membawa kita semua merasai bagaimana masyarakat yang tinggal jauh dari bandar menyambut Ramadan serta gaya hidup mereka,'' katanya.

Selain itu, Bukhari menjelaskan, TV9 turut menyiarkan sebuah program menarik iaitu Resipi Istana yang memaparkan resipi dan masakan hidangan berbuka puasa kegemaran kalangan sultan, permaisuri serta kerabat raja.

Antara tetamu diraja yang menghiasi Resipi Istana ialah Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun dan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url