Top Ad 728x90

Kerjaya - Jururawat penawar kepada ibu baru

Bergelar Jururawat Masyarakat atau dulu lebih dikenali sebagai Jururawat Desa, mungkin bagi sebilangan anak muda sekarang kerjaya yang kurang popular atau glamor.

Golongan ini kadang kala bagaikan 'hero yang tidak didendang' menyumbang bakti kepada masyarakat dalam senyap tetapi penuh ikhlas biarpun masyarakat keliling kadang kala bagaikan tidak menyedari kehadiran mereka.Dan sempena Hari Wanita yang dirai pada setiap 25 Ogos (hari ini) wajar kiranya untuk kita memberi penghormatan kepada ‘Florence Nightingale’ moden ini.Justeru ikuti pengalaman wartawan ZUHAYATI YAZID ‘turun padang’ bersama dua Jururawat Masyarakat, Kapilah Ibrahim dan rakannya, Hasmiza Hamzah yang bertugas di Klinik Desa Selayang Baru, Selangor, mendekati masyarakat yang memerlukan dan masih menghargai khidmat yang dicurahkan.

Dulu kelibat Jururawat Desa atau kini dikenali sebagai Jururawat Masyarakat, berbasikal menyusuri jalan-jalan sempit di kawasan kampung bagi memberikan rawatan susulan kepada ibu-ibu baru bersalin merupakan satu pemandangan biasa

Namun seiring dengan peredaran masa basikal kini diganti dengan motosikal yang lebih selesa dan efisien.

Walau apa pun kenderaan yang digunakan kehadiran mereka sememangnya sentiasa dinanti-nantikan oleh sebilangan masyarakat yang memerlukan khidmat mereka.

Malah kemunculan mereka di muka pintu sudah cukup melegakan terutama bagi ibu-ibu muda yang baru bersalin dan tidak mempunyai pengalaman menguruskan bayi.

Rutin itu jugalah yang dilalui setiap hari oleh Jururawat Masyarakat Kapilah Ibrahim, 32, dan rakan setugasnya, Hasmizah Hamzah, 29, yang bertugas di Klinik Desa Selayang Baru, Selayang, Selangor.

Seawal 9 pagi lagi kedua-dua jururawat gigih ini sudah mula menyusuri jalan di kampung-kampung sekitar dengan motosikal masing-masing bagi melawat rumah pesakit terutama ibu baru bersalin yang memerlukan rawatan atau penjagaan susulan.

Berpeluang mengikuti rutin harian jururawat desa ini menjalankan tugasan, membuatkan penulis teruja dengan cabaran yang digalas.

Selain membuat pemeriksaan susulan terhadap ibu dan bayi yang baru dilahirkan, mereka turut bertanggungjawab memberi penerangan kepada pasangan suami isteri mengenai pengurusan dan penjagaan bayi termasuk tunjuk ajar mengenai teknik penyusuan yang betul.

‘‘Biasanya pukul 9 pagi selepas kerja-kerja am di klinik selesai barulah kami akan mula melawat pesakit di rumah,’’ kata Kapilah memulakan bicara.

Menurutnya dalam sehari lebih 10 buah rumah perlu dilawati bagi mengetahui perkembangan ibu dan bayi.

Rutin lawatan pula bergantung pada keselesaan pesakit dan selalunya ia dilakukan dari awal pagi hingga petang.

‘‘Tiada hari atau masa yang khusus walaupun tugas saya secara rasmi bermula pukul 8 pagi dan berakhir 5 petang

‘‘Kadang-kadang saya bersendirian ke rumah pesakit tetapi jika ke kawasan yang berisiko tinggi biasanya kami akan pergi berdua sebagai langkah keselamatan,’’ katanya sambil tangan ligat memasukkan barang-barang keperluan dalam beg rasminya sebelum memulakan ‘misi’nya pada hari itu.

Jelasnya, walaupun hanya berdepan dengan ibu-ibu yang baru bersalin, aspek keselamatan diri perlu juga didahulukan.

Tegasnya, apabila sampai di rumah pesakit, perkara utama yang perlu diberi keutamaan adalah tahap kesihatan si ibu yang baru bersalin dan keadaan bayinya.

‘‘Biasanya apabila sampai saya akan memeriksa perkembangan kesihatan ibu seperti mengambil tekanan darah dan sebagainya. Kemudian barulah melihat keadaan bayi.

“Malah sudah menjadi rutin tugas saya untuk memandikan bayi ketika membuat lawatan ke rumah-rumah pesakit,” katanya.

Pengalaman selama lima tahun dalam kejururawatan memberi kelebihan kepada diri Kapilah untuk mengenal penyakit yang mungkin dihadapi oleh bayi dan si ibu.

Tambahnya lagi, tugasan lawatan ke rumah-rumah ini biasanya dilakukan selepas tiga hari ibu bersalin sehingga hari ke-20.

‘‘Dalam tempoh itu, biasanya ibu juga diberi pendedahan kesihatan diri dan juga bayi, pemakanan, penyusuan, penjagaan tali pusat bayi serta teknik penyusuan,’’ katanya.

Malah tegasnya, pasangan suami isteri juga turut diberi nasihat mengenai konsep perancang keluarga.

Ditanya dengan kerenah pesakit, Kapilah memberitahu dia sudah lali dengan pelbagai ragam pesakit

‘‘Soal maki hamun dan kerenah pesakit yang terlalu banyak, itu sudah menjadi lumrah dan asam garam sepanjang bekerja,” ujarnya yang mendapat latihan dari Kolej Jururawat Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bercerita mengenai cabaran dan pengalaman, biarpun bertahun lamanya dalam bidang ini dia masih tidak terlepas daripada dihimpit pelbagai dugaan ketika merawat pesakit di rumah.

‘‘Sekiranya di hospital, kita mempunyai bantuan daripada doktor dan jururawat yang lain di samping peralatan yang lebih mencukupi.

‘‘Namun disebabkan terpaksa melakukan seorang diri dan kadang kala peralatan tidak sebaik di hospital, persediaan awal sebelum ke rumah pesakit juga penting,’’ ujarnya.

Ceritanya lanjut, kadang kala perasaan panik dan gementar tetap ada kerana segala kemungkinan boleh berlaku.

Malah akuinya, pengalaman dikejar anjing serta terjatuh motosikal semasa membuat lawatan ke rumah pesakit tidak mematahkan semangat dalam menyemai tugasan murni ini.

Namun paling tidak dapat dilupakan ialah pengalaman menyambut kelahiran bayi kembar .

‘‘Si ibu berasa sakit hendak bersalin secara tiba-tiba. Saya pula ketika itu bersendirian tanpa dibantu orang lain. Alhamdulillah dengan pengalaman dan ilmu yang saya pelajari semasa di kolej segalanya berjalan dengan lancar,’’ katanya mengimbau pengalaman lalu.

Bagi Kapilah biarpun rakan-rakan sebayanya yang lain melihat profesion yang disandang barangkali tidak sehebat seorang eksekutif yang menduduki kerusi empuk di dalam pejabat berhawa dingin, hakikatnya tugas sebagai jururawat sememangnya memerlukan komitmen yang tinggi.

Bahkan pengalaman banyak mendewasakan dirinya untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat kerana tanggungjawab bukan hanya terbatas dalam wad atau ketika waktu berkerja saja.

Malah, sudah menjadi kebiasaan ketika insan lain sedang enak dibuai mimpi pada malam hari, dia pula menerima panggilan kecemasan daripada individu-individu yang memerlukan khidmatnya.

Sejak menyarung seragam putih itu kira-kira lima tahun lalu, gadis yang berasal dari Pulau Kundur, Kota Bharu Kelantan ini akur jadual kerjanya tidak hanya terbatas pada waktu pejabat.

“Sudah menjadi lumrah, kerjaya ini memerlukan saya bertugas 24 jam. Setiap detik nyawa dan keselamatan orang ramai yang memerlukan rawatan amat bergantung kepada peranan saya,” ujarnya

Dunia kejururawatan bagaikan sudah tidak boleh dipisahkan daripada dirinya kerana bagi Kapilah kerjaya itu memberi kelebihan kepadanya untuk melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

Tegas anak kepada pasangan Ibrahim Seman dan Khatijah Rejab ini, semua itu memberi pengalaman berharga dan setiap detik yang dilalui sepanjang tempoh berkhidmat adalah sesuatu yang menarik.

Lebih membuatkan wanita ini teruja, kerjayanya disifatkan sebagai pelaburan untuk akhirat kerana setiap kebaikan itu bukan untuk dikenang dengan pingat atau anugerah semata-mata.

Sebaliknya, peluang membuat kebajikan sesama manusia adalah sesuatu yang memberi kelebihan untuk kehidupan yang bakal dijalani di dunia yang satu lagi kelak.

Kapilah mengakui sebagai seorang yang dulunya takut melihat darah dia sendiri tidak menyangka mampu menjadi seorang jururawat yang sehingga ke hari ini.

“Dulu ketika mula masuk kolej melihat peralatan di dewan bersalin pun saya sudah panik. Alhamdulillah ini mungkin berkat doa ibu saya yang sememangnya mahu melihat salah seorang anak-anaknya menjadi jururawat,” ujar anak keenam daripada 13 adik-beradik.

Baginya, bidang kejururawatan sebenarnya kini semakin maju dan meluas bukan tertumpu di klinik-klinik desa saja seperti anggapan kebanyakan golongan muda hari ini.

‘‘Bagi saya di mana pun saya ditugaskan bukan menjadi masalah kerana yang penting saya dapat berbakti kepada masyarakat,’’ katanya mengakhiri perbualan sambil meminta izin menyambung tugas memeriksa keadaan pesakitnya seorang ibu muda yang baru bersalin, Marliana Samsuri, 26.

Rahmat

Kemunculan Kapilah dan Hasmizah sememangnya sedang ditunggu-tunggu oleh Marliana dan suaminya, Noor Azan Mat Sarip, 27.

Bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata pertama itu, kehadiran jururawat ke rumah adalah rahmat yang besar memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman menjaga bayi baru lahir.

“Memang setiap hari jururawat yang mandikan bayi saya kerana saya sendiri masih takut-takut untuk berbuat demikian. Lagi pun badan saya masih lemah,’’ kata Marliana, ibu kepada Aireena Seri Puteri yang baru berusia sembilan hari.

Katanya, tunjuk ajar daripada jururawat membuatkan dia semakin yakin mengendalikan bayinya.

“Kehadiran jururawat masyarakat ke rumah saya anggap hadiah berharga ketika berpantang,’’ ujarnya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90