Top Ad 728x90

Tiada jalan pintas - Zaitun Idrus


Pengalaman sebagai pengurus besar di Petronas selama 15 tahun, memperjudikan 13 tahun di Standard Chartered, tiga tahun di United Kingdom dan kini, Pengarah Hal Ehwal Korporat DiGi Telecommunications Sdn Bhd, mematangkan dirinya.

Bagi Zaiton Idrus, 54, kerjaya mencabar serta pengalaman memberangsangkan di dalam dan luar negara memberi ruang besar kepadanya membina kerjaya mengagumkan.

Bersemangat kental untuk berkongsi pengalamannya mendidik anak muda kini, dia sering menjadikan dirinya sebagai pemangkin demi meraih kejayaan lebih besar bukan hanya dalam kerjaya bahkan membawa mutu pengurusan yang mempunyai piawaian bertaraf dunia.

"Pengalaman bekerja di luar negara memberikan saya pendedahan bahawa banyak perkara perlu diteroka, dipelajari serta dikuasai anak muda jika mahu menempatkan diri hingga ke peringkat global.

"Kebanyakan anak muda kita bercita-cita besar dan berdaya saing, tetapi apabila tiba pada satu tahap, faktor keyakinan agak kurang dan adakalanya menurun membuatkan kita gagal meletakkan satu piawaian membentuk skala hebat untuk berjaya.

"Menerusi pengalaman di negara orang, saya sering menekankan aspek bahawa keyakinan diri amat penting jika ingin bersaing di luar sekali gus berjaya," katanya.

Berdasarkan usia, Zaiton sendiri pada mulanya terkejut dengan tawaran diterima namun memikirkan ia sesuatu yang menarik selain mahu membuktikan kepada anak muda bahawa umur bukan penghalang kejayaan seseorang.

"Saya ingin buktikan salah tanggapan umum yang meletakkan usia seperti ini selayaknya menjaga anak cucu, tetapi saya lebih gemar melakukan sesuatu yang positif selagi khidmat diperlukan.

"Pada peringkat awal, mungkin ada yang memandang rendah kebolehan saya sehingga saya berasa bagaikan ikan kecil di lautan yang begitu besar.

"Maklumlah bukan mudah beralih daripada bidang perbankan ke dunia baru bagi saya iaitu bidang telekomunikasi yang penuh kecanggihan.

"Mungkin sikap cepat belajar dan sering memikirkan nilai positif membolehkan saya menyesuaikan diri sebaiknya.

"Kolaborasi antara golongan muda dan berusia juga barangkali memantapkan lagi kerjaya apabila kita bekerja dalam satu kumpulan yang penuh inovatif lagi kreatif. "Menariknya di DIGI, kami bekerja tanpa ada pemisah di semua peringkat - daripada ketua pegawai eksekutif sehingga pekerja biasa.

"Mungkin pengalaman selama ini hanya berbeza tempat, tetapi skop atau bidang kerja tidak banyak berubah. "Sebagai pengamal komunikasi, saya memanfaatkan teknik, aspek atau perhubungan dua hala sewajarnya yang memberi laluan mudah kepada saya untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Berbual dengan wanita ini, bagaikan ada pesona tersendiri bahkan tenaga mahupun kekuatan yang dimiliki seolah menidakkan usia sebenarnya.

Menurutnya, apa yang penting adalah tanggungjawab dan karisma untuk melayakkannya melangkah lebih jauh dalam bidang yang amat diminatinya sejak menuntut di menara gading lagi iaitu perhubungan awam.

"Bagi saya, untuk berjaya, fokus dan komitmen amat penting. Untuk berada di tahap yang sudah saya lalui, kerja keras adalah sandaran saya. Tidak ada jalan pintas untuk mencapai sesuatu kejayaan dan prinsip itu yang saya pegang sampai bila-bila," katanya.

Menyentuh mengenai keluarga, Zaiton bertuah kerana dianugerahkan suami yang memahami kerjayanya yang kadangkala memaksanya ke luar negara atau meninggalkannya dengan anak-anak.

"Saya beruntung kerana suami banyak mengambil alih tugas keluarga apatah lagi saya sering meninggalkannya dan anak-anak kerana urusan di luar negara.

"Dalam pada itu, kami tetap mengutamakan penerapan nilai agama dan boleh dikatakan semua anak terdidik dengan baik serta memperoleh ijazah dari luar negara," katanya.


PROFIL

NAMA: Zaiton Idrus

JAWATAN: Pengarah Hal Ehwal Korporat, DiGi Telecommunications Sdn Bhd

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Diploma Program Pengurusan, Universiti Oxford

STATUS: Kahwin

SUAMI: Wan Hamidon Wan Hussein

ANAK: Wan Hairina, 30, Wan Hazrinee, 24, dan Wan Mohd Hashridz, 18

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90