Top Ad 728x90

,

143,099 dapat kerakyatan, 70% permohonan warganegara siap

Sebanyak 70 peratus daripada 143,099 permohonan membabitkan taraf kewarganegaraan, permit masuk dan pendaftaran lewat sijil kelahiran yang tertunggak sehingga Januari lalu telah siap diproses.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, permohonan yang paling banyak adalah pendaftaran lewat sijil kelahiran melibatkan 93,360 permohonan manakala taraf kewarganegaraan adalah 32,927 permohonan dan 16,812 permohonan untuk permit masuk.

''Bagaimanapun saya memberi jaminan kesemua permohonan itu akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini walaupun ia bukan satu tugas yang mudah.

''Saya lihat kita berada di landasan yang betul dan setakat ini terdapat 30 peratus permohonan terbabit yang perlu diteliti," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu, terdapat 92 penerima membabitkan lima kategori iaitu Perkara 15A-Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang diberi di dalam keadaan-keadaan khas, Perkara 15(1)-Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang diberi bagi isteri kepada warganegara secara daftaran dan Perkara 15(2)-Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang diberi bagi anak-anak yang berumur 21 tahun kepada ibu atau bapa seorang warganegara Malaysia.

Bagi Perkara 16-Taraf Kewarganegaraan Malaysia pula, ia diberi kepada orang yang lahir di Persekutuan Tanah Melayu sebelum kemerdekaan 1957 dan Perkara 19(1)-Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang diberi dengan cara masukan (naturalisasi) bagi yang telah berumur melebihi 21 tahun.

Hishammuddin berkata, usaha mempercepatkan proses permohonan itu bukan bermakna pihak beliau melonggarkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh setiap pemohon.

''Prosesnya masih begitu ketat kerana hal-hal sebegini saya tidak ambil mudah tetapi usaha itu disokong oleh pertambahan kakitangan yang ditugaskan untuk meneliti permohonan yang tertangguh itu," katanya.

Mengenai dakwaan ada pihak tertentu yang mahu menggunakan isu perkauman pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, beliau berkata, usaha itu akan menyebabkan berlaku perpecahan di kalangan rakyat negara ini.

''Jika isu perkauman digunakan dalam konteks politik, ia akan menyebabkan huru-hara dan dalam keadaan itu akan beri kesempatan untuk pihak-pihak tertentu merealisasikan agenda peribadi atau politik mereka," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90