Indeks Harga Pengguna meningkat 1.3 peratus
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berbanding dengan bulan yang sama tahun lalu, IHP bulan Ogos tahun ini turun 2.4 peratus daripada 114.9 kepada 112.1.
Menurutnya, penurunan itu adalah disebabkan oleh perubahan harga minyak petrol dan diesel mulai Jun tahun lepas.
"Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan bulan Julai lalu, IHP sehingga bulan Ogos tahun ini naik sebanyak 0.2 peratus.
"Ia merupakan kenaikan kecil mungkin disebabkan oleh kenaikan dan penurunan harga barang tertentu di pasaran," katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, kenaikan tersebut adalah disebabkan peningkatan dalam indeks kumpulan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.0 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (0.2 peratus), pendidikan (0.2 peratus).
Katanya, bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, kesihatan, pengangkutan, restoran dan hotel dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing meningkat sebanyak 0.1 peratus.
Sebaliknya, beliau berkata, penurunan indeks dapat diperhatikan dalam kumpulan pakaian dan kasut sebanyak 0.3 peratus manakala dua kumpulan utama yang lain iaitu minuman alkohol dan tembakau dan komunikasi kekal masing-masing pada 130.3 dan 96.3 peratus.
Jelasnya, kenaikan sebanyak 0.2 peratus pada indeks makanan bukan alkohol dalam bulan Ogos tahun ini berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan oleh kenaikan indeks makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing sebanyak 0.1 peratus.
Katanya, bagi indeks kopi, teh dan minuman bukan alkohol kekal tidak berubah pada 113.3 peratus.
Menurutnya, antara barangan makanan yang mencatatkan kenaikan indeks yang ketara dalam bulan Ogos tahun ini berbanding bulan sebelumnya ialah cili merah (11.9 peratus), bawang putih (8.6 peratus), ikan kerisi (2.4 peratus), sotong (2.2 peratus), ikan selar (1.9 peratus dan ikan kembong (1.7 peratus).
Pada masa yang sama katanya, indeks bagi beberapa barangan makanan didapati turun dalam bulan Julai tahun ini berbanding bulan sebelumnya.
Menurutnya, antara barangan yang mencatatkan penurunan indeks ialah timun (4.7 peratus), kailan (3.1 peratus), bayam (2.5 peratus), sawi (2.4 peratus) dan kangkung (2.1 peratus).
"Orang ramai hanya membuat persepsi dan tanggapan bahawa harga barangan akan naik. Harganya akan meningkat sekiranya minyak diesel naik kerana ia turut melibatkan kenaikan kos pengangkutan seperti lori.
"Sebaliknya, hasil kajian yang dilakukan, hanya sebanyak 0.2 peratus sahaja kenaikan itupun pada barangan tertentu sahaja seperti ikan segar yang mempunyai permintaan tinggi akibatnya pengeluaran yang berkurangan pada bulan Ramadan ini," katanya.
Dalam pada itu, mengenai kadar inflasi, Ismail Sabri berkata, sejak Januari hingga Ogos ini kadar inflasi adalah 1.3 peratus dan ia masih dalam sasaran kerajaan iaitu sekitar 1.5 ke dua peratus untuk tahun ini.
- UTUSAN
salam i'd fitri...