2 Juruterbang TUDM terbunuh, pesawat Pilatus terhempas di Langkawi


Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat mejar maut apabila pesawat Pilatus PC-7 yang mereka naiki terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini, hari ini.

Kedua-dua juruterbang tersebut dikenali sebagai Mejar Mohd. Rozaini Mohd. Mustafa, 37, dan Mejar Mohd. Zulkifli Hasan, 38. Kedua-dua mereka berkhidmat di pangkalan TUDM Kepala Batas, Alor Setar.

Kejadian berlaku ketika juruterbang berkenaan cuba mendaratkan pesawat tersebut di landasan lapangan terbang kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan TUDM Kepala Batas dan terhempas kira-kira 90 meter dari landasan di lapangan terbang tersebut sebelum terbakar.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Langkawi, Ishak Hashim berkata, empat jentera bersama 15 anggota bomba berkejar ke tempat kejadian sebaik sahaja mendapat maklumat pada pukul 12.50 tengah hari.

Menurut beliau, ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian, mayat kedua-dua juruterbang yang lengkap beruniform masih berada di tempat duduk masing-masing.

‘‘Anggota bomba berjaya mengeluarkan mayat kedua-dua juruterbang tersebut dari pesawat kira-kira pukul 1.20 petang dan terus dibawa ke Hospital Langkawi,’’ kata beliau.

Bagaimanapun, punca kemalangan itu masih disiasat.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
2 Comments
  • 9W2 CZL Zubair Samat
    9W2 CZL Zubair Samat Sabtu, 12 September 2009 pada 6:05:00 PTG SGT

    kenapa guna foto hak milik orang lain..??? sedangkan mstar pun letak kredit di bawah tu... anda ciplak macam tu saja..!

  • MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)
    MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN) Sabtu, 12 September 2009 pada 6:47:00 PTG SGT

    harap maaf
    saya tak tahu yang gambar tersebut ada hak eksklusif
    saya dah buang gambar tersebut & tukar kepada gambar oleh UTUSAN

    * Jika ada gambar yang menjadi kesalahan, sila maklumkan secara baik

Add Comment
comment url