60 Pasangan kahwin serentak sempena tarikh 09.09.09


Sebanyak 60 pasangan pengantin di sini mengikat tali perkahwinan mereka secara serentak bersempena tarikh 09.09.09 hari ini.

Pasangan beragama Buddha itu dinikahkan serentak tepat pukul 9 pagi di Wat Nikrodharam di sini dalam satu upacara yang disempurnakan oleh enam orang sami Buddha yang didatangkan khas dari Tanah Besar China.

Pengerusi Persatuan Buddha Kedah, Lim Heng Wan berkata pasangan pengantin berkenaan memilih tarikh itu kerana menganggap ia sesuatu yang istimewa dan percaya akan membawa tuah berdasarkan sebutannya.

"Tarikh 9.9.09 disebut dalam bahasa Mandarin sebagai "chew chew chew" yang membawa maksud lama dan berkekalan. Ini merujuk kepada ikatan perkahwinan yang diharap akan bertahan untuk tempoh yang lama," katanya di sini hari ini.

Pasangan Teoh Chung Siong dan isterinya Tan Xie Fei ketika ditemui berkata, mereka berasa bertuah kerana dapat melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang sangat bermakna itu.

"Hari ini sangat istimewa kepada saya dan isteri kerana kami melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang cukup istimewa dan berharap kami akan mendapat kebahagian," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url