Cari persamaan bukan perbezaan
Masing-masing mempunyai hak untuk mengamalkan ajaran agamanya secara aman dan harmoni. Bagi umat Islam yang membentuk kumpulan majoriti pula, selama ini tidak pernah mengkritik atau melenting jauh sekali untuk berdemonstrasi apabila rumah-rumah ibadat agama lain dibina.
Semua itu menjadi simbol kebebasan beragama yang dijunjung pemerintah dan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Landskap keharmonian kaum dan toleransi agama yang diamalkan di negara ini - sebuah negara Islam membangun - menjadi rujukan banyak negara di dunia dan tidak mustahil ada yang mencemburuinya.
Pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia sehingga berjaya mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negara selama 52 tahun, seiring dengan prinsip toleransi anjuran agama Islam.
Prinsip toleransi itu bukan baru. Ia jugalah yang dilaksanakan oleh pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Justeru perkembangan yang berlaku di dalam negara akhir-akhir ini mengundang tanda tanya tentang keperluan dan kewajarannya.
Rentetan cadangan pembinaan kuil di penempatan majoriti Melayu Islam di Shah Alam yang membawa kepada demonstrasi jalanan dan insiden mengarak kepala lembu membuatkan ramai rakyat Malaysia yang masih waras tertanya-tanya.
Apa perlunya membina rumah ibadat bukan Islam di kawasan majoriti orang Islam? Apa perlunya mengarak kepala lembu untuk membantah rumah ibadat penganut agama Hindu?
Dan yang lebih mustahak, apa perlunya mengorbankan prinsip toleransi yang sekian lama menjadi kunci perpaduan rakyat Malaysia?
Sikap segelintir pihak yang tidak segan silu mencetuskan polemik dan memainkan sentimen kaum dan agama dengan berselindungkan hak kebebasan beragama cukup membimbangkan.
Toleransi
Kebimbangan rakyat Malaysia ini turut dikongsi oleh isteri Tengku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris. Baginda gusar melihat kerapuhan sikap toleransi agama di dalam negara. Lebih membimbangkan apabila tindak-tanduk segelintir pihak menjadi 'nila yang merosakkan susu sebelanga'.
"Saya bimbangkan satu sahaja, imej negara dan Islam tercemar gara-gara kejadian di Shah Alam. Sayang sekali ia berlaku setelah sekian lama Islam diterima sebagai agama rasmi negara dan Malaysia dipandang tinggi oleh negara-negara bukan Islam," katanya kepada Mingguan Malaysia dalam satu pertemuan di Johor Bahru.
Raja Zarith menegaskan, sebetulnya selepas 52 tahun Malaysia menyambut kemerdekaan, tidak harus timbul persoalan atau keraguan tentang nilai toleransi yang menjadi amalan masyarakat majmuk di negara ini. Justeru dalam hal ini, baginya, setiap rakyat Malaysia perlu terus memperkasakan perpaduan pelbagai kaum yang terbukti menjadi tunjang kekuatan negara.
"Jika kita asyik mencari perbezaan maka kita akan menjumpai bermacam-macam perbezaan. Sebaliknya jika kita mencari persamaan akan terjumpalah berbagai-bagai persamaan walaupun kita berbeza latar belakang, warna kulit dan anutan.
"Yang turut menjadi kebimbangan saya ialah, kita takut tidak bertempat sedangkan andai kita saling menghormati satu sama lain, kita sudah tentu dapat mengekalkan keamanan dan perpaduan yang sudah sekian lama kita warisi," jelas Raja Zarith lagi.
Bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baginya, inilah masa terbaik untuk rakyat Malaysia kembali mengukuhkan ikatan permuafakatan yang longgar. "Selama ini, kita semua sudah biasa dengan mereka yang bukan satu agama atau satu bangsa dengan kita, jadi mengapa kita harus merosakkan keunikan perpaduan yang kita kecapi selama ini," tegas Raja Zarith lagi.
Menjelang Ramadan baru-baru ini, emosi Raja Zarith tersentuh apabila beberapa ahli jawatankuasa beragama Hindu dalam Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang diterajuinya mengingatkan beliau tentang bantuan untuk golongan kurang upaya khususnya yang beragama Islam.
Bukan sekadar mengingatkan sebaliknya, mereka turut bersusah payah mengelolakan acara berkenaan dan membantu mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat untuk disalurkan kepada golongan berkenaan dalam bulan berkat ini.
Kalau itu belum cukup, sekitar Oktober depan, Raja Zarith akan bekerjasama dengan beberapa organisasi sosial seperti Kelab Rotary Johor, Intan Lifezone, polis dan Hospital Sultanah Aminah untuk menganjurkan kempen kesedaran mengenai bahaya penyakit AIDS.
Idea mengadakan kempen itu digembleng secara bersama oleh orang Melayu, India dan Cina yang sama-sama bimbang dengan peningkatan jumlah penghidap AIDS di kalangan orang Melayu.
"Jadi, apabila berlaku insiden seperti di Shah Alam baru-baru ini, saya rasa begitu hampa kerana ketika kami di Johor begitu akrab menjalin toleransi ada pihak di luar sana yang tidak peka dan sensitif dengan isu ini," kata Raja Zarith dalam nada kesal.
Sebarang rasa tidak puas hati berhubung toleransi kaum tegasnya harus diselesaikan secara berhemah, bukannya dengan mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat.
"Kita harus memelihara kesucian agama Islam. Kita tidak mahu orang bukan Islam menganggap Islam itu agama ganas," luah beliau berulang kali.
Kebimbangan yang disuarakan Raja Zarith pada pertemuan itu seiring dengan ingatan yang disuarakan Perdana Menteri baru-baru ini tentang ketidakwajaran umat Islam mencerca agama lain.
Dalam ucapannya selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Jamek Chenor, Maran, Pahang, Perdana Menteri mengingatkan tindakan mencerca agama lain bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan tetapi juga mungkin menyebabkan agama Islam dicerca lebih hebat lagi.
Dalam hal ini, Raja Zarith mengingatkan, andai ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara wajar menyuarakan perasaan itu kepada pihak berwajib melalui cara yang elok.
"Kita semua harus rasa sayang pada keamanan negara yang sudah lama kita kongsi bersama. Selama ini, kita dihormati dan disegani bukan saja oleh negara-negara Islam, bahkan oleh negara-negara bukan Islam yang lain.
"Jadi kalau kerapuhan nilai toleransi kaum dan agama sudah tercetus, saya bimbang ia akan memberi kesan yang kurang baik kepada negara kita," jelas beliau lagi.
Justeru, Raja Zarith mengingatkan golongan generasi muda sebagai pewaris bangsa, jangan sesekali mengambil tindakan yang boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat. Baginya setiap rakyat Malaysia harus memikirkan tentang kekuatan yang ada sehingga mampu mengekalkan keharmonian kaum dan agama.
"Kita tinggal di bumi yang sama dan bercakap bahasa yang sama. Perkara-perkara yang membuatkan kita menangis dan ketawa pun selalunya sama.
"Tiada ruginya kalau kita berbaik-baik, sebaliknya kita akan rugi kalau asyik memandang serong sesama kita," tegasnya.
Sambil mengakui bukan pandai agama, Raja Zarith mahu umat Islam menghayati ajaran al-Quran seperti terkandung dalam Surah al-Hujurat Ayat 13 bermaksud:
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal.
Begitu juga dengan Surah Muntahanah Ayat 8: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu.
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.
- MINGGUAN MALAYSIA