Kaki digilis lori


Seorang penunggang motosikal yang cuba bangun selepas terjatuh dari motosikalnya sejurus bergesel dengan sebuah lori, meraung sekuat hati apabila menyedari kedua-dua kakinya hancur digilis tayar kenderaan berat itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang semalam di Kilometer 9, Jalan Skudai menghala pusat bandar berdekatan pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Bandar Baru Uda di Johor Bahru, mangsa dikenali sebagai Arief Ftri berusia awal 30-an, meraung menahan kesakitan akibat parah pada kedua-dua kakinya selain sedih kerana kudung.

Sebelum itu, mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan berat dipercayai lori dari arah sama menyebabkan dia terjatuh sebelum kedua-dua kakinya digilis tayar belakang kenderaan berkenaan.

Dalam keadaan menyeksakan itu, Arief cuba ditenang beberapa pengguna jalan raya sementara menunggu ketibaan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

Jurucakap polis trafik ketika dihubungi berkata, sehingga petang semalam, pihaknya belum menerima laporan daripada pemandu lori berkenaan berhubung kejadian itu.

Katanya, jika dalam tempoh 24 jam pemandu berkenaan gagal tampil membuat laporan polis, kejadian itu akan disiasat mengikut kes langgar lari.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mengenal pasti nombor pendaftaran lori yang dipercayai menggilis kaki mangsa diminta memberikan kerjasama dengan menghubungi hotline polis 07- 2212999.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url