Nurul Khusna Gadis Melayu


Namun, rezeki nyata tidak berpihak kepada dirinya.

Apapun, Nurul Khusna atau mesra dengan panggilan Khusna tidak pernah patah semangat.

Baginya, kalah dan menang adat bertanding. Walaupun tewas, bakat pengacaraan Khusna tidak dipersiakan apabila dia meraih peluang diimpikan.

Siapa sangka, tanpa pengalaman di dada, Khusna diberi peluang mengemudi program Resipi Istana yang disiarkan sebanyak 13 episod pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 12 tengah hari di TV9. Ia nyata memberi banyak pengalaman kepadanya.

Selesa merendah diri apabila berbicara, anak kelahiran Kuantan, Pahang ini berkata, dia tidak pernah menyangka akan mendapat peluang mengacara.

Lebih-lebih lagi, untuk beramah mesra dengan kerabat diraja dari setiap negeri di Malaysia.

"Banyak yang saya harus pelajari untuk memastikan program ini (Resipi Istana) berjalan lancar seperti protokol apabila bersua dengan kerabat diraja termasuk mengetahui bahasa istana. Terus-terang, ia satu cabaran besar pada diri saya.

"Apapun, sekarang saya sudah boleh melakukan tugas dengan baik. Tiada lagi perasan takut di hati, tetapi setiap kali penggambaran saya tidak nafikan mesti berdebar.

"Bagaimanapun, saya seronok kerana bidang pengacaraan memang minat utama.

"Justeru, tidak wajar bagi saya mensia-siakan bakat ini dan seharusnya berusaha gigih serta memberikan tumpuan penuh kepada karier sebelum bercinta.

"Lagipun, pada usia 20 tahun ini bagi saya masih terlalu muda untuk mengejar cinta," katanya.

Dilahirkan dalam keluarga besar seramai 10 adik-beradik, sebagai anak ketujuh Khusna juga mengakui dirinya tidak kekok mengasuh bayi dan kanak-kanak.

Cuma, katanya, sekarang biarlah dia kerja keras membina karier sebelum berumah tangga.

"Sebagai manusia, cinta itu lumrah. Tetapi, apabila sudah bergelar personaliti televisyen saya kena pandai menjaga diri. Kini, apa dilakukan pasti menjadi perhatian dan syukur, hingga ke saat ini saya lebih senang membawa karakter diri yang sebenar.

"Sekarang tanggungjawab saya kepada masyarakat besar. Ditambah lagi, dengan imej bertudung. Jadi, saya perlu bijak menjaga maruah diri, keluarga dan majikan.

"Apapun, saya sentiasa berpegang pada pepatah berani kerana benar, takut kerana salah," katanya.

Walaupun bersikap lemah-lembut, tetapi Khusna tegas berkata-kata.

Memiliki 11 anak saudara, si gadis yang minat memasak serta menjaga kanak-kanak ini mengakui kematangan wajahnya sering menjadikan dia individu terpilih sebagai 'pemimpin.'

Kata Khusna lagi, apabila ditanya mengenai usia, pasti ramai yang tidak mempercayainya.

Kebanyakan mereka beranggapan umur perawan jelita ini sudah melewati 20-an.

Namun, itulah 'kelebihan' diri Khusna yang menjadi sandaran bakatnya.

"Adakala rimas juga kalau orang tidak percaya umur sebenar saya, tetapi, itu hak masing-masing dan yang penting saya bercakap benar.

"Bagi saya, kematangan ini menonjol mungkin disebabkan asuhan keluarga yang terdiri daripada kakak dan abang.

"Malah, masih ada juga adik-adik di bawah saya. Oleh itu, saya sudah terbiasa memimpin dan menjaga adik sejak mereka kecil.

"Apapun, apabila sudah selalu jadi pemimpin, saya sering dipilih menjadi 'tokoh' sekolah, pengawas dan asrama," katanya.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (SABS), Kuantan dan Sekolah Menengah Teknik, Kuantan ini, dia pernah dipilih sebagai Tokoh Pelajar, Tokoh Pengawas, Tokoh Asrama termasuk mengetuai Biro Komunikasi.

"Bukan itu saja, saya juga suka menjadi pengacara majlis anugerah di sekolah. Jadi, akhirnya bakat sejak sekolah ini dapat direalisasikan selepas menyertai pencarian Gadis Melayu, tahun lalu. Memang saya tidak sangka dan ini semua rezeki daripada Tuhan.

"Apa yang pasti saya bertekad mahu membuat yang terbaik. Malah, sekarang ini pun saya hanya mahu fokus sebagai pengacara.

"Masih banyak perlu dipelajari serta mantapkan lagi, sebelum saya berhasrat untuk mencuba bidang lain dan meluaskan pengalaman," katanya.

Ramah berbual, Khusna yang bersikap pemalu mengakui dia semakin yakin pada kebolehan diri sendiri.

Katanya, untuk menjadi individu berjaya, dia perlu percaya dan menerima segala kelebihan atau kekurangan diri kerana manusia tidak sempurna.

PROFIL

NAMA: Nurul Khusna Uma

PANGGILAN: Khusna

USIA: 21 tahun

ASAL: Kuantan, Pahang

KELUARGA: Anak ke-7 daripada 10 beradik

KARIER: Pengacara TV

MINAT: Memasak, menjaga kanak-kanak & menguruskan rumah

PROGRAM TV: Resipi Istana

PENCAPAIAN: Finalis Gadis Melayu musim pertama

PENCAPAIAN SEKOLAH: Tokoh Pelajar, Tokoh Pengawas, Tokoh Asrama & Ketua Biro Komunikasi.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url