Amalan sedekah paling afdal pada Ramadan
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”. (Hadis Bukhari). Begitulah indahnya ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah dan Allah SWT sendiri menjamin pahala untuk orang yang mengamalkannya sebagai agenda kehidupan mereka.
Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh masa malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut kemampuan seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal di sisi Allah SWT ialah ketika bulan Ramadan. Ini dapat kita perhatikan menerusi satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.’ (Hadis Bukhari dan Muslim) Jadi berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita sebagai umat Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh berkat itu.
Dalam soal memberi sedekah itu, semua orang mampu melakukannya sama ada dalam kuantiti yang banyak mahupun sedikit. Apa yang utama ialah sikap dan niat kita mesti menjuruskan kepada ikhlas kerana Allah SWT. Banyak yang boleh seseorang sumbangkan sebagai sedekah pada bulan Ramadan ini. Antaranya ialah memberikan makan minum kepada orang berpuasa. Dalam masyarakat Melayu, menyediakan juadah untuk berbuka sentiasa diadakan di masjid, surau mahupun di madrasah. Hal itu sangat mulia dan wajar diteruskan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,’ Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia memperoleh pahala sama dengan orang yang berpuasa; sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurang sedikit pun. (Hadis At Tirmidzi) Hadis ini mendorong kita umat Islam supaya tidak mementingkan diri sendiri pada bulan Ramadan, akan tetapi menggalakkan umatnya menjaga kepentingan orang lain.
Alangkah indahnya tuntutan Islam ke atas umatnya kerana dengan pengamalan bersedekah khususnya ketika bulan Ramadan pasti membibitkan rasa kebersamaan dan semangat ukhwah yang mantap dalam kalangan ummah.
Justeru, ketika kita sedang asyik menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan ini, segala amalan sunat dan amal makruf seperti bersedekah seharusnya diperbanyakkan dengan satu niat, hanya ingin mendapat reda Allah. Insya-Allah mereka yang pemurah dalam bulan Ramadan itu pasti ‘dekat dengan Allah’ dan Allah SWT meredainya serta diberikan ganjaran pahala yang besar.
- BERITA HARIAN