Top Ad 728x90

,

Popular bukan tentu dipangkah pengundi

Oleh KAMAL AHMAD

Tidak guna popular di kalangan ahli parti saja sedangkan mereka tidak disenangi rakyat sehingga parti tidak mendapat sokongan pada pilihan raya. Demikian tegas (dengan maksud sindiran?) Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC di ibu negara, Sabtu lalu. Kenyataan itu ditujukan kepada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) tetapi siapa orangnya?

Kemudian di Seremban, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyarankan Umno Bahagian Teluk Kemang menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga nama calon untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Saranan Mohamad itu sejajar pandangan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mahu calon BN di Bagan Pinang mesti seseorang yang diterima ahli parti dan disokong rakyat.

Jadi, bolehkah keputusan 12 cawangan Umno dan 33 ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Teluk Kemang yang hanya mahu Tan Sri Mohd Isa Samad, umpama menonjolkan calon popular dalam parti tetapi belum tahu tahap sokongan akar umbi?

Kenyataan Najib, saranan Muhyiddin dan nasihat Mohamad dilihat 'perkembangan baru' dalam usaha mencari calon terbaik di Bagan Pinang. Selain Isa, siapa layak? Jawabnya, tidak ada. Jika Umno cawangan dan bahagian sepakat mahu Isa, bagaimana mereka perlu mengkaji semula senarai itu sedangkan mereka hanya mahu Isa?

Cara mana hendak 'mewujudkan' sekurang-kurangnya dua lagi nama seperti saranan Muhyiddin dan dinasihatkan Menteri Besar sedangkan calon berpotensi tidak ada? Apakah Isa juga dilema untuk menolak sehingga terpaksa menerima pencalonan itu? Dan, selepas beberapa kali ditanya komen jika beliau dipilih calon di Bagan Pinang maka jawapannya ialah: "Terpulang kepada pengundi dan akar umbi (untuk menyokongnya)."

Mohamad pula sudah menetapkan satu pendirian iaitu calon yang boleh menang. "(Jika) itulah nama (merujuk kepada Isa) yang diberi, nama itulah yang akan diserahkan kepada peringkat (pucuk) kepemimpinan. Saya nak tengok kita menang..." kata Mohamad di depan penyokong Isa di Port Dickson, tengah malam Khamis lalu. Namun kenyataan Mohamad bagai isyarat beliau juga tiada pilihan lain kecuali Isa memandangkan Teluk Kemang kubu kuat bekas Menteri Besar itu sejak lebih dua dekad lalu.

"Kalau Tan Sri (Isa) bertanding esok (kelak), saya ucapkan selamat bertanding dan mesti menang... Saya sokong," kata Mohamad lagi sambil meminta jentera BN jangan prejudis terhadap sikap pengundi sebelum ini. "Jangan (sewenang-wenangnya) hitam putihkan pengundi kita. Dengan pendekatan yang baik mungkin mereka (pengundi pembangkang) akan menyokong kita kali ini."

Namun antara asas kemenangan calon BN di Bagan Pinang katanya ialah: "Berdoa dan bekerja keras kemudian bertawakal kepada Allah."

Kelmarin, Muhyiddin sekali mahu lebih ramai calon dikemukakan dan jangan timbulkan spekulasi siapa calon BN di Bagan Pinang sehingga diumumkan secara rasmi. Kenyataan itu diharap menamatkan apa saja tindakan dan cakap-cakap yang menggambarkan BN tiada kesepakatan memilih calon.

Antara tekanan untuk menang dan melakukan 'check mate' terhadap penguasaan pembangkang; keputusan akar umbi serta kepemimpinan Bahagian Teluk Kemang yang mahu Isa; dan, mahu bukan satu calon dikemukakan kepada pucuk pimpinan, maka guna kebijaksanaan masing-masing memilih calon yang boleh memberi kemenangan walau satu undi kepada BN kali ini.

Memang fungsi pembangkang mencari silap dan kelemahan kerajaan. Itu kerja rutin dan BN perlu sedia berdepan serangan itu walaupun ia datang dalam bentuk tohmah, fitnah atau propaganda semata-mata. Untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, mereka kini bertungkus-lumus mengumpul bahan.

Dijangka, pembangkang akan 'meletupkan' beberapa isu nasional serta persekitaran tetapi ada kaitan dengan DUN itu. Jadi, jika hari ini Mohamad menyerahkan senarai calon BN bagi pilihan raya kecil itu kepada pucuk pimpinan Umno - Najib atau Muhyiddin, dan nama itu ialah Isa maka bersedialah menghadapi serangan berkaitan prinsip dan peribadi bertalu-talu daripada pembangkang.

Taktik ketika pilihan raya kecil di Permatang Pasir mungkin dieksport ke sini kerana mereka berdepan dengan 'status mangsa' hampir sama. Namun Isa ada keberanian tersendiri. "Saya pernah dituduh ada saham dalam ladang babi ketika Bukit Pelanduk dilanda wabak virus Nipah," katanya mengimbas kempen pembangkang pada Pilihan Raya Umum 1999.

Kali ini, pembangkang pasti memainkan isu politik wang dalam pemilihan Umno yang disabitkan dengan Isa. Benar, beliau sudah melalui hukuman akibat kesalahan itu. Malah status kes itu bukan kesalahan jenayah. Namun pembangkang akan mengutarakan satu soalan 'cepu emas' kepada Isa dan bolehkah beliau menjawabnya ketika itu?



Pembangkang akan turut memainkan isu asas iaitu kemudahan untuk orang ramai di Bagan Pinang dan daerah Port Dickson amnya. Antaranya ialah pasar awam, pengangkutan awam khususnya bas, longkang dan perparitan, pengurusan air kumbahan pusat peranginan dari Bagan Pinang hingga ke Batu 9 Teluk Kemang, projek lebuh raya terbengkalai, tekanan bekalan air rendah, pantai dan laut Port Dickson yang semakin tercemar serta Port Dickson sebagai Bandar Pelancongan tetapi status itu tidak mencerminkan hakikat sebenarnya.

"Ini Bandar Pelancongan tetapi tidak ramai yang datang," kata Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Bahrin Abbas (PKR). Beliau mempersoalkan di mana Pusat Penerangan Pelancongan selepas Port Dickson menjadi kawasan tumpuan pelancongan sejak seawal 1970-an. Beliau juga melihat BN ada masalah dengan calon dan menunjukkan contoh poster pada kemeja-T untuk kempen 'Mansuhkan ISA' sekali gus bermaksud 'Mansuhkan Isa (Samad)' dalam blognya.

Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Teluk Kemang itu juga kelihatan mula sibuk. Beberapa fail mengenai pengundi dan penduduk di atas meja petugas. Timbunan kampit beras (mungkin 5 kilogram tiap satu) juga ada untuk agihan penduduk memerlukan di situ. Kamarul Bahrin berkata, keputusan PKR memberi laluan kepada Pas bertanding sebagai menghormati kesepakatan ketika Pilihan Raya Umum 2008.

Sebelum ini, calon Pas Ramli Ismail meraih 4,097 undi berbanding calon BN, Azman Mohd Nor (6,430 undi). Namun Ramli masih belum dapat ditemui untuk memberi komen. Undi kepada BN juga sukar dibaca (sama ada BN kalah, menang tipis atau menang dengan majoriti besar) kalau Isa bertanding ketika itu.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90