Catatan sebuah sejarah hitam
Pada 8.15 pagi, 6 Ogos 1945 adalah tarikh dan hari paling muram dalam sejarah kemanusiaan. Pada waktu itu, 600 meter dari paras muka bumi Hiroshima sebuah bom meletus menamatkan sekali gus satu permulaan.
Apa yang ditamatkan ialah satu garis kemanusiaan di atas nama kekuasaan, manakala yang dimulakan ialah satu kehidupan yang mati bagi mangsa pasca serangan yang cukup meruntun jiwa.
Hiroshima, sebuah bandar yang kini giat membangun dengan tema paling universal 'keamanan' sebenarnya masih belum mampu untuk melupakan sejarah hitam itu.
Mungkin itu tidak akan berlaku berlaku sama sekali. Kesayuan masih lagi tersisa di jalan-jalan raya dan raut wajah penduduknya yang kini berjumlah 1.2 juta orang itu.
Sewaktu bom atom itu gugur, populasi bandar itu sekitar 300,000 orang. Pada pagi itu juga separuh daripada jumlah nyawa berkenaan lenyap serta-merta. Selebihnya hidup seperti bangkai yang keliru sebelum bantuan tiba di Hiroshima.
Kini, di tengah-tengah bandar itu, kenangan yang sengaja ditinggalkan sejak kejadian tersebut ialah sebuah bangunan konkrit dengan kubah yang hanya tinggal rangka. Pada asalnya berdiri sebagai Hiroshima Prefectural Industrial Promotion Hall.
Peringatan
Ia ada di situ sebagai tanda peringatan terhadap kemusnahan kerana disebabkan oleh binaan konkrit dan bukan kayu seperti kebanyakan bangunan dan rumah lain di sekitarnya ketika itu.
Tidak jauh dari tapak itu, didirikan taman peringatan Hiroshima Memorial Park sebagai sebuah pusat dokumentasi sejarah khusus untuk serangan bom berkenaan.
Walaupun dibangunkan dengan kemas dan serba baru serta canggih, namun ia masih tidak mahu menyembunyikan realiti.
Di dalam salah satu daripada bangunan itulah buku ini diperoleh. Di satu sudut, buku itu menggamit perhatian kerana menjadi satu-satunya daripada barisan cenderamata yang ada seperti mempunyai gejolak rasa dan emosi.
Perkara yang tercatat di dalam buku itu yang sudah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, boleh dibaca sebagai catatan-catatan peribadi mereka yang terdedah kepada radiasi nuklear itu sendiri, termasuk juga tulisan-tulisan warga Jepun dari serata pelosok negara itu.
Sejarah Hiroshima mungkin boleh dibaca dari merata sumber dengan Internet juga mempunyai keupayaan itu.
Tetapi, cerita-cerita yang ada di dalam buku itulah adalah suara-suara yang jujur menceritakan tentang pengalaman yang menyayat hati dan ngeri.
Walaupun ditulis sebagai bait-bait sajak dan puisi, perkara itu sebenarnya perlahan-lahan ditenggelamkan oleh kejelasan dan realiti setiap satu insiden yang disampaikan secara terus dan mudah tanpa kias.
Sedih
Daripada tulisan-tulisan itu jugalah pembaca akan memasuki satu situasi yang cukup merimaskan dan menyedihkan tanpa disedari. Antara mereka, ada yang menceritakan tentang pengalaman sebagai mangsa yang berada dalam keadaan keliru sebaik bom itu meletup. Masing-masing sarat dengan pertanyaan tanpa jawapan.
Ada juga yang menceritakan pengalaman tinggal di bawah tanah, dengan segala kecederaan tidak terawat. Termasuk menyambut kelahiran seorang bayi seperti yang dicatatkan oleh Sadako Kurihara;
"Suatu malam di lantai bawah sebuah
bangunan runtuh,
ruang tanpa walau satu pun lilin
dipenuhi oleh orang-orang cedera
akibat bom atom.
Bau darah, rasa ngeri kematian dan
busuk peluh,
Sesak dan erangan sakit.
Dan dari tempat ini juga kedengaran
suara menjerit;
'Ada bayi yang hendak dilahirkan.' "
Getir
Kita tidak dapat membayangkan bagaimana akhirnya.
Namun, seperti yang terkandung di dalam buku itu ia bukanlah cerita fiksyen yang dikarang di sebuah meja lebar dan kerusi empuk. Kisah-kisah itu lahir dari jalan-jalan dan ruang-ruang di antara Hiroshima dan Jepun, yang dulunya pernah mencatat sejarah-sejarah luka ini.
Membaca catatan-catatan itu melahirkan satu perasaan kemanusiaan secara natural kepada pembaca. Secara tak sedar juga kita seperti merasa terdesak untuk bersetuju dengan menjadikan keselamatan dan keamanan sebagai satu elemen yang amat penting.
Ia juga berbicara tentang kebejatan senjata nuklear. Dalam diam-diam, kita juga akan meminta mereka yang masih dengan kehalobaan untuk terus bergelumang membangun senjata nuklear dikutuki.
Buku itu mungkin sukar didapati di sini. Bagaimanapun, kepada yang berminat, boleh mencuba berhubung terus dengan penerbitnya melalui alamat e-mel ini: suzuki@coal-sack.com
- KOSMO!