Tiada guna popular di kalangan ahli parti - Najib

Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bahawa tiada gunanya menjadi popular di kalangan ahli parti saja, sedangkan mereka tidak disenangi rakyat sehingga parti tidak mendapat sokongan pada pilihan raya.

Perdana Menteri dalam ucapannya yang mendapat tepukan gemuruh dan menerima 'standing ovation' daripada 1,464 perwakilan serta 1,000 pemerhati di Perhimpunan Agung MIC ke-63, berkata, ingatannya itu sangat relevan kepada semua komponen parti bagi memastikan Barisan Nasional (BN) diterima rakyat.

"Kalau kita popular pada ahli parti saja, kita boleh menang jawatan dalam parti, tetapi sama ada parti kita relevan atau tidak ialah sama ada kita boleh menang di kalangan hati rakyat untuk menyokong parti BN.

"Sebab itu Umno, MCA dan MIC serta parti komponen BN yang lain jangan lupa perspektif ini, kalau kita lupa, rakyat akan menghukum kita pada pilihan raya nanti," katanya.

Ini adalah kali pertama Najib berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Najib berkata, rakyat kini bukan lagi masyarakat pada tahun 50-an tetapi mereka kini cerdik dan terbuka pemikirannya melalui dasar BN.

"Untuk BN menjadi relevan dan terus relevan, kita mesti berhubung dengan rakyat. Kita mesti sentiasa berhubung dengan rakyat... apabila kita berhubung dengan rapat, kita akan mendapat sokongan rakyat. Jika pemimpin BN sentiasa turun padang dan menunjukkan sikap merendah diri 'kita tidak akan kehilangan apa-apa'," katanya.

Bagi memastikan MIC terus relevan, Perdana Menteri berkata, beliau menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) parti itu mesti mendapatkan kembali sokongan masyarakat India.

Beliau meminta pemimpin dan ahli MIC bekerja bersungguh-sungguh dan 'jangan membuat yang tidak patut dibuat'.

"Turun ke bawah.. berkhidmat kepada kaum India... berkhidmat kepada rakyat Malaysia. Jadilah hamba yang setia kepada rakyat," katanya sambil disambut sorakan bersetuju ribuan yang hadir itu.

MIC kalah enam daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya, termasuk kerusi Parlimen Sungai Siput yang disandang Samy Vellu pada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Parti itu juga tewas 12 daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya yang sama berikutan kehilangan sokongan sebahagian besar masyarakat India.

Najib berkata, rakyat membenci pemimpin yang angkuh, salah guna kuasa dan suka menunjuk kekayaan tetapi menyenangi pemimpin yang membela mereka.

Katanya, beliau mengambil pendekatan 'tinjauan mesra' yang dimulakan pada hari ketiga beliau menjadi Perdana Menteri dengan melawat Petaling Street, Lembah Pantai dan Brickfields.

"Saya menikmatinya kerana saya bersama rakyat Malaysia. Kalau saya sebagai Perdana Menteri boleh buat ini... pemimpin lain pun boleh buat. Turun ke bawah... bersama-sama dengan rakyat... merendah diri... bersederhana. Kesederhanaan adalah cara merendah diri," katanya.

Najib berkata, beliau sudah menunjukkan isyarat jelas kepada perwakilan pada pemilihan parti itu berhubung pendekatan dikehendaki kerana BN adalah produk yang baik.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url