Tiada kematian, 255 positif H1N1

Tiada rekod kematian baru akibat jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1) dicatatkan di seluruh negara hari ini.

Ini bermakna, rekod kematian akibat H1N1 kekal 74 kes sejak Jumaat lalu.

Dalam pada itu, sebanyak 255 pesakit telah disahkan H1N1 termasuk tujuh pesakit merupakan kemasukan baru dalam tempoh 24 jam lalu.

Jumlah itu bertambah sebanyak 40 kes berbanding tempoh sama semalam iaitu 215 kes positif H1N1 yang masih dirawat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican (gambar) berkata, sehingga pukul 9 pagi ini, sebanyak 231 pesakit baru dengan gejala penyakit influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama 166 pesakit dibenarkan pulang.

"Perkembangan itu menjadikan baki seramai 1,048 kes ILI sedang dirawat di 106 buah hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara, termasuk 255 pesakit yang positif H1N1," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurutnya, daripada 255 kes itu, 42 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala empat lagi kes telah dibenarkan keluar daripada wad tersebut.

"Daripada 42 kes yang sedang dirawat di ICU, 34 kes mempunyai faktor risiko seperti penyakit kronik, respiratori kronik, obesiti, kanak-kanak bawah lima tahun dan hamil," ujarnya.

Dalam pada itu, jelasnya, pihak hospital akan menjalankan rawatan H1N1 dan ujian swab tekak bagi pesakit yang dimasukkan ke hospital sahaja.

"Oleh itu, bagi pesakit luar tidak diberikan rawatan pengesahan tersebut," katanya.

Sementara itu, memandangkan hari raya semakin menjelang, Mohd. Ismail meminta orang ramai yang pulang ke kampung menggunakan pengangkutan awam agar sentiasa membawa alat penutup mulut dan hidung serta menjaga kebersihan diri masing-masing supaya tidak dijangkiti virus tersebut.

Katanya, orang ramai digalakkan mengamalkan kebersihan diri seperti membasuh tangan setiap masa di sepanjang perjalanan dan memastikan kertas tisu yang telah habis digunakan dibuang ke dalam tong sampah yang tertutup bagi mengurangkan penularan H1N1.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url