Yogyakarta pula dilanda gempa
Gegaran yang kuat menyebabkan penduduk bertempiaran keluar dari kediaman masing-masing.
Gempa yang tidak berpotensi mengakibatkan tsunami itu turut dirasakan sehingga ke Bali dan setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan.
Jabatan Meteorologi dan Geofizik Indonesia melaporkan gempa berkenaan berlaku di 263 kilometer tenggara Wonosari, Yogyakarta.
Ketua Pengarahnya, Suhardjono dipetik detik.com berkata, gempa kali ini tidak menyebabkan kerosakan kerana ia terletak jauh di tengah laut dan telah mulai reda apabila tiba di daratan.
Menurut beliau, gempa kuat berkenaan adalah ekoran gempa di Tasikmalaya, pada Rabu lalu.
Dalam pada itu, Penasihat Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Dr. Junaidi Abu Bakar berkata, pelajar Malaysia yang berada di Yogyakarta semuanya selamat.
Menurut beliau, walaupun semasa kejadian, mereka turut lari keluar dari kediaman masing-masing, tetapi tiada yang tercedera.
''Keadaan para pelajar Malaysia di Yogyakarta baik dan mereka sudah kembali belajar seperti biasa,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Yogyakarta pernah dilanda gempa kuat pada 27 Mei 2006 dengan kekuatan 6.2 skala Richter yang menyebabkan banyak kediaman dan bangunan pejabat serta pusat membeli-belah runtuh.
Kejadian itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan di sesetengah kawasan, bekalan elektrik hanya pulih seminggu selepas gempa.
Bencana itu turut menyebabkan lapangan terbang Yogyakarta ditutup dan semua penerbangan dipindahkan ke Semarang dan Solo.
- UTUSAN