Top Ad 728x90

Alamat .my lambang kebanggaan

Kebanyakan kita menggunakan tidak mementingkan alamat laman web seperti www.blalaa.com, www.blalaa.net, www.blalaa.int, www.blalaa.name dan sebagainya.

Mungkin ramai pengguna yang memiliki blog menggunakan platform blogspot, wordpress dan macam-macam lagi walaupun tidak dinafikan ia ditawarkan secara percuma.


Bagaimanapun, alangkah baiknya kalau kita memiliki .my pada hujung alamat laman web memandangkan ia gambaran sebenar yang menunjukkan dari mana asal laman web itu terbabit.

Ia berdasarkan kemampuan kita membayar alamat 'domain' dengan anggaran RM50 ke RM120 setahun.

Bagi individu, ia mungkin sukar, namun perkara sama tidak sepatutnya dikeluhkan syarikat yang bertapak di negara ini.

Alamat domain boleh dianggap seperti alamat rumah kita yang menunjukkan beberapa perkataan seperti www.hmetro.com.my, www.bharian .com.my dan sebagainya.

Kalau dulu, alamatnya mempunyai tiga perkataan seperti hmetro, .com dan .my namun ia mengalami perubahan pada tahun lalu selepas .c membenarkan perkataan .my saja digunakan.

Tanpa perlu menoleh ke belakang, mak cik di kampung atau siapa yang teringin memiliki laman web menggunakan nama sendiri seperti www.ali.my atau www.satekampung.my kini boleh mendaftar untuk mendapatkannya selepas .my DOMAIN REGISTRY membuka tawaran itu kepada umum.

Tahun lalu, pembekal pendaftaran alamat Internet terkemuka Asia Pasifik, .my DOMAIN REGISTRY yang sebelum ini dikenali sebagai MYNIC Berhad menawarkan alamat dua peringkat `domain' (2DL) kepada rakyat di negara ini berbanding 3DL sebelum (contohnya www.123.com.my) bermula 25 Mac 2008.

Pengarahnya, Shariya Haniz Zulkifli, berkata ia berdasarkan siapa cepat dia dapat dengan mengaktifkan alamat Malaysia kepada 2DL melalui 31 vendor yang berdaftar.

"Mungkin umum tertanya-tanya apa yang istimewanya 2DL, jika kita melihat perkataan itu sendiri iaitu `my' bermakna saya punya selain singkatan untuk Malaysia malah ia mudah diingati," katanya.

Menurutnya, .my melambangkan kebanggaan kerana menggunakan singkatan Malaysia yang menaikkan imej serta penjenamaan sekali gus meningkatkan populariti laman web.

"2DL menawarkan perkhidmatan alamat Internet lebih mudah dan ringkas untuk diingati bagi mengurangkan jurang industri dalam pelbagai perniagaan serta aktiviti," kata Shariya.

Pendaftaran 2DL dibuka kepada individu atau organisasi berdasarkan siapa cepat dia dapat dengan perlu mengemukakan dokumen sokongan serta berumur 18 tahun ke atas.

Untuk kes ini, laman web dengan belakangnya yang berakhir dengan .my menunjukkan ia datang dari Malaysia secara tidak langsung menjadi simbol di kebanggaan kepada rakyat yang memakainya.

Ia termasuk kepada pemakai yang menggunakan laman web untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Ini bermakna, langkah menggunakan .my pada bahagian belakang adalah simbol kenegaraan yang perlu dititikberatkan juga.

Sehingga hujung 2008, pendaftaran alamat domain mencecah sehingga 80,786 yang menerawang di dunia siber mengikut perangkaan dikeluarkan .my DOMAIN REGISTRY.

Namun begitu, lebih 50 peratus syarikat Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia tidak mempunyai .my.

Ia berdasarkan pemerhatian pendaftar tunggal alamat domain itu yang mendapati 48.5 peratus atau 466 daripada 961 syarikat di negara ini tidak memiliki alamat domain berakhir dengan .my

Shariya berkata, 278 syarikat di Papan Utama serta 121 syarikat pada Papan Kedua tidak memiliki .my manakala 67 organisasi tersenarai di Mesdaq juga tidak berbuat demikian.

"Malah ada antaranya yang langsung tidak memiliki mana-mana laman web namun jumlahnya agak sedikit," katanya.

Menurut Shariya, syarikat di negara ini seharusnya tidak memandang mudah pendaftaran .my berasaskan tiga objektif iaitu identiti jenama unik, melindungi harta intelek (IP) dan mengelak 'setinggan siber'

"Sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap pendaftaran domain, .my memberi nama unik kepada syarikat di Malaysia untuk menggunakannya di dunia Internet yang menguatkan kehadiran negara ini di pentas dunia," katanya.

Katanya, negara diiktiraf sebagai antara 20 negara yang aktif dalam dunia perniagaan.

"Oleh itu, apabila menggunakan alamat domain .my, ia akan menambah potensi untuk mengakses pasaran eksport dan import.

"Orang luar akan lebih percaya sekiranya kita menggunakan alamat domain .my kerana mereka akan beranggapan langkah terbabit menunjukkan keseriusan syarikat yang mendaftar di Malaysia," jelasnya.

Beliau berkata, .my boleh membezakan syarikat Malaysia dengan entiti asing yang memiliki nama organisasi sama.

"Contohnya, akhbar Kanada iaitu The Toronto Star menggunakan alamat www.thestar.com manakala rangkaian perkhidmatan kewangan di Amerika, Star Networks memiliki domain www.star.com.

"Bayangkan kalau tiada .my di belakang alamat domain, ia pasti menyukarkan pelayar Internet melihat dari mana asalnya sebuah syarikat," kata Shariya.

Mengulas lebih lanjut, Shariya memaklumkan kepentingan melindungi IP menggunakan alamat domain .my yang disifatkan penting ketika berada di dunia tanpa sempadan.

"Syarikat akan bergantung kepada laman web untuk mendekati penggunanya sebagai sumber maklumat, produk atau perkhidmatan.

"Statistik terkini menunjukkan pertambahan 300 peratus pengguna Internet dari tahun 2000 hingga 2008," ujar Shariya.

Katanya, syarikat sepatutnya tidak ketinggalan di belakang kerana melindungi IP di Internet juga dikira aset penting dalam dunia perniagaan.

Selain itu, syarikat yang tidak mendaftarkan nama domain .my mereka mungkin mengundang kejadian penyalahgunaan nama laman web atau lebih dikenali setinggan siber.

Setinggan siber membawa makna individu tertentu yang mendaftar atau menggunakan trafik laman web orang lain untuk kepentingan sendiri berdasarkan identiti organisasi terbabit.

"Kes membabitkan setinggan siber dilaporkan mencecah sehingga 500,000 di Amerika Syarikat tahun lalu," tambah Shariya.

Katanya, walaupun belum ada kes sama dilaporkan di negara ini, ia tidak bermakna syarikat akan terus selamat daripada ancaman terbabit.

Menurut agensi di bawah Bangsa Bersatu (UN) iaitu Organisasi Harta Intelek Dunia (WIPO), sebanyak 2,329 aduan dibuat terhadap ancaman setingga siber yang mengancam hak cipta syarikat dilaporkan dan ia bakal meningkat dari tahun ke tahun.

Salah satu modus operandi mereka melakukan setinggan siber termasuk niat menjual nama domain kepada syarikat ditiru dengan harapan mereka akan membayar lebih untuk alamat laman web yang dicuri itu.

Secara tidak langsung, pencurian nama domain turut menjejaskan reputasi syarikat sekiranya si pemakai menggunakannya untuk tujuan tidak baik.

Seterusnya, Shariya menjelaskan, kurangnya kesedaran pengguna terhadap penggunaan nama domain menjadi faktor utama yang menyebabkan mereka kurang berminat untuk mendaftar .my.

"Ada yang beranggapan pendaftaran nama domain tidak penting namun ia membabitkan reputasi yang perlu diambil kira," katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili pun bersetuju pendaftar nama domain .my berpeluang membawa jenama dan identiti Malaysia ke pasaran dunia.

"Pencarian di Internet mengenai sejarah, ekonomi, produk serta perkhidmatan negara di Malaysia akan menjadi lebih mudah dan cepat dengan menggunakan singkatan .my yang tidak berkategori.

"Malaysia berjaya menyertai negara lain di rantau Asia Pasifik yang turut mempunyai nama domain peringkat kedua ini. Kejayaan ini meletakkan negara setara dengan kemajuan teknologi di rantau itu", katanya.

Kita berada dalam negara yang mana rakyatnya patut menyenaraikan alamat domain .my memandangkan ia melambangkan identiti kenegaraan serta menunjukkan asal tumpah darah masyarakatnya.

Apatah lagi syarikat yang berjual beli dalam dan luar negara membabitkan urusniaga menggunakan laman web.

Kita perlu turut sama dengan negara lain terutama di Asia seperti Jepun, Hong Kong dan Singapura yang mementingkan nama domain negara masing-masing dalam melonjakkan identiti tersendiri.

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90