MOL sasar RM500j dalam tempoh dua tahun
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ganesh Kumar Bangah berkata, kerjasama itu akan membolehkan Friendster menggunakan 500,000 saluran bayaran fizikal dan maya miliknya untuk kegunaan perbelanjaan mikro oleh 115 juta pengguna seluruh dunia.
"Kami jangka mendapat RM150 setiap seorang pengguna. Jadi, dengan 115 juta pengguna, saya harap ia akan meningkatkan pendapatan kami sebanyak RM200 juta lagi.
MOL akan mengendalikan Friendster Wallet, satu sistem penyimpanan nilai untuk ahli Friendster yang boleh digunakan untuk membuat bayaran dan simpanan kredit untuk pengguna.
Ganesh berkata, kredit akan disimpan dalam bentuk mata wang yang dipanggil
Friendster Coins itu, boleh digunakan di mana-mana laman barangan dan perkhidmatan Friendster.
Ia juga termasuk mata wang tidak berasaskan duit, dipanggil Friendster Chips yang berasaskan pemasaran dan insentif, katanya.
Perkhidmatan baharu itu dijangka dilancarkan di Malaysia minggu depan dan akan diperkenalkan ke seluruh dunia dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Mengendalikan lebih 60 juta bayaran urus niaga setahun di lebih 75 negara, MOL juga meninjau peluang untuk berkembang ke lain-lain negara menerusi usaha sama strategik, kata Ganesh.
"Kami akan mengumumkan pelancaran di negara-negara baharu dalam tempoh beberapa bulan lagi. Kami juga akan mengumumkan usaha sama strategik kami dengan saluran pengagihan," katanya, sambil menambah bahawa Asia Tenggara akan terus menjadi pasaran utama syarikat itu.
- BERNAMA