55,635 calon duduki STPM mulai 18 November 2009
Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Khawari Idris berkata, daripada jumlah itu, 48,774 orang calon sekolah kerajaan, 1,632 calon sekolah swasta dan 4,768 calon persendirian.
Katanya, terdapat juga 457 calon sekolah kerajaan negeri dan empat calon sekolah integriti.
''Calon dinasihatkan, jika berlaku bencana seperti banjir atau tanah runtuh, mereka boleh ke pusat peperiksaan berdekatan dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan berkenaan,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambah Khawari, calon yang menghidap wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) atau sedang dikuarantin hendaklah menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah bagi mendapatkan bantuan sewajarnya untuk menduduki peperiksaan tersebut.
''Calon juga dinasihatkan sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC1 atau LPKC2) sepanjang peperiksaan berlangsung.
''Calon yang masih tidak menerima atau kehilangan LPKC1 atau LPKC 2 boleh melayari laman web MPM www.mpm.edu.my untuk mencetak butiran pendaftaran mereka,'' jelasnya.
Katanya, MPM membuka Bilik Gerakan untuk membantu calon yang menghadapi masalah untuk menduduki peperiksaan itu.
''Bilik Gerakan itu akan beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat dari 7.30 pagi hingga 6 petang,'' katanya.
Talian yang boleh dihubungi adalah 03-61302666.
- UTUSAN
yeah..good luck to all yg amik spm/stpm